KOTA KINABALU: Kematian Iman, badak sumbu Sumatera terakhir Malaysia pada 23 November lalu mengakhiri usaha lebih 30 tahun sejak 1980-an menyelamatkan spesies mamalia berkenaan daripada pupus di negara ini.
Ia pastinya sesuatu yang menyedihkan, lebih-lebih lagi kepada rakyat Sabah memandangkan hidupan liar berkenaan adalah antara ikon unik yang menjadi tarikan negeri ini kerana hanya ditemui di sini.
Sejak 1980-an, dilaporkan sebanyak 13 ekor badak sumbu Sumatera diselamatkan dari hutan sekitar negeri ini seperti di Lahad Datu dan Kinabatangan untuk dibiakkan dalam kurungan, namun tiada satupun berjaya.
Selain Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), usaha itu rurut dibantu badan bukan kerajaan (NGO) seperti SOS Rhino dan kini Borneo Rhino Alliance (BORA).
Satu demi satu mamalia bertanduk di hidung itu mati, sama ada akibat sakit atau usia tua.
Yang tinggal kini hanya sejarah mengenai mamalia berkenaan, selain rangka dan replika badak yang ditempatkan di Muzium Sabah sebagai bukti ia pernah wujud di negeri ini.
Selain Iman, seekor lagi rakan badak betina itu dikenali sebagi Tam turut menemui ajal pada tahun ini iaitu pada Mei lalu akibat usia tua dan kegagalan organ dalaman.
Tam adalah badak jantan yang benihnya sempat diambil dan disimpan sebelum disenyawakan dengan telur atau ovum Iman menerusi kaedah pembiakan in-vitro (IVF) pada September lalu tetapi tidak berjaya.
Apa yang dikesalkan, Sabah seolah-olah bersendirian dalam usaha menyelamatkan spesies berkenaan sedangkan ancaman sama turut dihadapi Indonesia dan seharusnya dilihat sebagai isu global.
Indonesia dilaporkan masih memiliki sejumlah kecil badak sumbu Sumatera dengan yang terdekat di Kalimantan, selain di Sumatera.
Sebelum ini, usaha pernah dilakukan untuk bekerjasama dengan negara jiran itu bagi memulihara haiwan berkenaan, namun belum ada kata sepakat dicapai sehingga kini.

Berikutan kematian Iman, BORA berpendapat, kerjasama dengan Indonesia semakin mendesak dan ia seharusnya diteruskan walaupun tiada lagi badak sumbu Sumatera ditemui di hutan Sabah.
Pengarah Eksekutif BORA, Datuk Dr Junaidi Payne, dilaporkan berkata memorandum persefahaman (MoU) yang dirancang dengan Indonesia sebelum ini masih sangat diperlukan.
“Malaysia dan rakan kita di Jerman, Itali dan Institut Pertanian Bogor, Indonesia (IPB University) mempunyai banyak untuk ditawarkan, misalnya dalam pengurusan badak Sumatera betina dengan patologi reproduktif, tuaian telur daripada badak hidup dan kultur sel serta menangkap dan memindahkan badak Sumatera dari kawasan terpencil.
“Iman, Tam, Puntung dan Gelogob, empat badak Sumatera terakhir di Malaysia, semua hidup dalam kultur sel. Teknologi sudah wujud untuk menghasilkan telur dan sperma daripada sel ini.
“Teknologi membolehkan embrio sesuatu spesies berjaya dimasukkan dalam rahim lain akan bersama kita dalam masa yang tidak lama lagi,” katanya sambil menjelaskan masih ada peluang untuk mengembalikan semula spesies badak sumbu Sumatera di Sabah jika ada kerjasama Indonesia menerusi penggunaan teknologi kultur sel dan IVF.
Pada Ogos lalu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew mengetuai delegasi ke Jakarta bagi membincangkan kerjasama pemuliharaan badak Malaysia-Indonesia.

Dr Junaidi dan Pengarah JHLS, Augustine Tuuga dan Pengarah Konservasi WWF-Malaysia, Dr Henry Chan adalah antara yang menyertai delegasi itu, namun sehingga kini belum ada perkembangan baharu mengenai MoU yang diusahakan.
BORA adalah NGO tempatan yang terbabit dalam penjagaan tiga badak sumbu Sumatera iaitu seekor badak jantan dikenali sebagai Tam dan dua badak betina iaitu Puntung dan Iman di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu sejak 2008.
Tam atau Kretam yang ditangkap pada 2008, mati akibat usia tua dan kegagalan organ dalaman pada 27 Mei lalu, manakala Puntung yang ditangkap pada 2011 terpaksa dimatikan (euthanasia) pada 4 Jun 2017 selepas beberapa lama menderita kanser kulit atau skuamus.
Pada 23 November lalu, badak terakhir Malaysia, Iman yang ditemui di Lembah Danum, Lahad Datu pada 2014 mati selepas beberapa hari dilaporkan berdepan kemerosotan tahap kesihatan disebabkan ketumbuhan dalam rahim yang semakin membesar.
Dr Junaidi menjelaskan, pelbagai usaha sudah dilaksanakan bagi memastikan speseis mamalia berkenaan tidak mengalami kepupusan, namun berakhir dengan kegagalan selepas semua badak yang ditemui dan ditangkap, mati tanpa sebarang kejayaan pembiakan.
“Sabah sudah melakukan apa yang terbaik sejak dua dekad lalu. Masalahnya ialah perlu ada satu program untuk spesies berkenaan. Mengasingkannya kepada program Sabah, Semenanjung Malaysia serta Kalimantan Timur, Acheh dan Lampung di Indonesia adalah satu pendekatan birokrasi yang tidak wajar.

“Kita kecewa kerana banyak peluang untuk menyelamatkan spesies ini ditolak oleh mereka yang ada kedudukan untuk mempengaruhi dan pihak berkuasa yang sepatutnya lebih tahu dengan baik.
“Saya sendiri kecewa apabila surat hasrat (letter of intent) untuk kerjasama ditandatangani oleh semua pihak berkepentingan pada 2012 tidak dipedulikan kecuali oleh kerajaan Malaysia, Sabah dan BORA, walaupun beberapa kali kita berusaha untuk mendapatkan komitmen mereka,” katanya.