Politics

WARISAN vs UMNO di PRK Kimanis

MESKIPUN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menetapkan tarikh penting berkaitan PRK itu, parti-parti politik sudah mula berbincang mengenai calon selain menyusun jentera bagi menawan hati pengundi.

 Di pihak WARISAN, meskipun Ketua Menteri yang juga presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, belum menyatakan calon mewakili parti itu, ramai berpendapat Datuk Karim Bujang yang diletakkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRK-14) tahun lalu bakal dinamakan semula.

Ia mengambil kira faktor ketrampilan Karim sebagai pemimpin lama disenangi rakyat, selain peranannya dalam memfailkan petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Kimanis sehingga Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan keputusan pilihan raya kerusi berkenaan pada PRU-14 sebagai tidak sah dan batal.

Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman pada PRU-14 kerana mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya, sekali gus membenarkan petisyen Karim.

Keputusan itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan Anifah pada 1 Disember lalu, sekali gus mengesahkan kekosongan kerusi Parlimen Kimanis.

Pada PRU-14, Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi selepas memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi.

Anifah yang keluar UMNO pada tahun lalu dan menjadi wakil rakyat bebas dalam kenyataannya selepas keputusan Mahkamah Persekutuan itu, mengatakan beliau akan turun ke Kimanis untuk mendengar pandangan penyokongnya.

Beliau masih boleh bertanding tetapi sebagai calon bebas kerana bukan lagi ahli UMNO atau mana-mana parti pembangkang lain.

Di pihak UMNO pula, parti itu sudah menyatakan akan meletakkan calon dan ia bukan sesuatu yang menghairankan memandangkan kerusi Parlimen Kimanis dianggap sebagai milik UMNO dan BN kerana dimenangi Anifah atas tiket BN pada PRU-14.

Berdasarkan perkembangan semasa, UMNO mungkin meletakkan pemangku Ketua UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin. Beliau adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan tapi tewas di tangan calon WARISAN, Dr Daud Yusof pada PRU-14.

Setakat ini, belum ada perkembangan menarik berkaitan parti pembangkang lain, termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kerana masing-masing menunggu maklum balas cawangan parti di Kimanis sama ada mahu meletak calon atau hanya menyokong calon pembangkang lain.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dalam kenyataan masing-masing turut menyatakan mahu bertemu terlebih dahulu dengan Anifah berhubung perancangannya bagi PRK berkenaan.

Parlimen Kimanis merangkumi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan dan DUN Membakut yang majoriti daripada 29,805 pengundinya setakat suku pertama tahun ini adalah Bumiputera Islam.

DUN Bongawan kini diwakili wakil rakyat WARISAN, manakala DUN Membakut diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas wakil rakyatnya, Datuk Mohd Ariffin Arif keluar UMNO pada tahun lalu dan secara rasmi menyertai BERSATU pada April lalu.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.