TELATAH comel dan senyuman yang tidak lekang di bibir kanak-kanak penghidap sindrom perkembangan menyeluruh (GDD), Maisarah Ilham, 9, dari Sandakan, sering mencuri tumpuan warganet.
Dalam video terbaharu yang dimuat naik gurunya, Muhammad Fazri Hassan, pada 18 November lalu di Twitter, kanak-kanak itu dilihat memakai pakaian kostum ‘unicorn’ sambil bermain bola baling dengan rakan-rakannya.
Video dengan keterangan ‘jamuan akhir tahun dan sambutan hari jadi… fikirkan unicorn mana datang sekolah tadi’ setakat ini mendapat lebih 28,000 ulang kicau.
Kebanyakan netizen mengucapkan terima kasih kepada Maisarah dengan mengibaratkan senyuman kanak-kanak itu membantu menghilangkan tekanan mereka, selain ada individu yang berjenaka tidak mahu kanak-kanak itu membesar.
Antara ciapan Itu;
“Thank you Maisarah untuk senyuman yang diberi so cute. Sangat tenang, disaat dilanda masalah, tersenyum sendiri melihat senyuman awak wahai adik comel. Terima kasih”.
“Aku sorang je ke xnk dia membesar…nak biar dia kecik mcm tu je”.

Maisarah yang mempunyai ketinggian cuma 94 sentimeter dengan berat 17 kilogram (kg) seringkali viral bukan saja dalam negara, malah kanak-kanak itu yang belajar di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Gas, di Batu Sapi, di sini, turut mendapat perhatian negara luar menerusi videonya bermain ‘Hula Hoop’.

Maisarah turut mempunyai akaun Instagram diwujudkan keluarganya bagi membolehkan peminat kanak-kanak comel itu mengikut perkembangannya dan kini mempunyai lebih 15,000 pengikut.
Fazri berkata, pada mulanya, dia memuat naik setiap gambar dan video di Twitter untuk berkongsi mengenai aktiviti kanak-kanak istimewa di sekolah itu kepada ibubapa dan masyarakat luar.
“Bila Maisarah mula dikenali, ramai pihak luar yang tampil beri bantuan kepada sekolah termasuk individu dari luar negara.
“Mereka suka lihat Maisarah kerana fizikalnya yang comel dan senyuman tidak lekang,” katanya.
Selain video bermain Hula Hoop, beberapa video Maisarah yang mencuri tumpuan adalah reaksi pelik terhadap eksperimen berkaitan telur di sekolahnya, latihan lumba lari, naik bukit dan beberapa lagi video menunjukkan aktivitinya.