
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) menerima sokongan Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk bertanding mewakili parti pemerintah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang perlu diadakan selewat-lewatnya awal Februari 2020.
Ia selepas Majlis Pimpinan PH Sabah yang bermesyuarat baru-baru ini sebulat suara menyatakan persetujuan dan sokongan kepada WARISAN untuk bertanding dan meletakkan calon pada PRK itu.
Mesyuarat dipengerusikan Pengerusi PH Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Pengerusi PKR negeri, Datuk Christina Liew itu dihadiri pemimpin utama semua parti komponen PH Sabah.
Antaranya Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Sabah, Datuk Masidi Manjun; Setiausaha Publisiti DAP Sabah yang juga Menteri Belia dan Sukan negeri, Phoong Jin Zhe dan Pengerusi AMANAH Sabah, Lahirul Latigu.
Yang turut hadir ialah Naib Pengerusi PKR Sabah yang juga Pembantu Menteri Kewangan negeri, Kenny Chua; Setiausaha DAP Sabah, Tan Lee Fat; Timbalan Pengerusi PKR Sabah, Mustapha Sakmud dan Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan.
Pemimpin yang turut hadir ialah Datuk Dr Abdul Sani Yamil (AMANAH), Datuk Maijol Mahap (BERSATU), Datuk John Ghani (PKR), Datuk Amisah Yasin (BERSATU), Loh Ee Eng (DAP) dan Peter Saili (DAP).
Christina menjelaskan persetujuan itu dicapai berdasarkan kes petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan sebelum ini yang memutuskan parti bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bertanding semula.
“Parti komponen PH Sabah akan menyokong dan memastikan kemenangan calon yang diputuskan oleh WARISAN. Jentera parti komponen akan digerakkan untuk membantu calon pada PRK itu nanti,” katanya.
PRK Kimanis perlu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya sebelum ini yang memutuskan keputusan PRU-14 bagi kerusi Parlimen Kimanis sebagai tidak sah dan batal.
Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman pada PRU-14 kerana mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.
Ia berikutan petisyen pilihan raya yang difailkan calon WARISAN, Datuk Karim Bujang pada tahun lalu yang mula dibicarakan pada awal tahun ini.
Isnin lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dalam kenyataannya, memaklumkan bahawa Dewan Rakyat sudah menerima surat daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun mengenai kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kimanis berkuatkuasa pada 10 Disember.
Pada PRU-14, Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi selepas memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon WARISAN, Datuk Karim Bujang yang mendapat 11,786 undi dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi.
Berikutan konsensus yang dicapai PH Sabah itu juga, perhatian kini tertumpu kepada siapa calon yang bakal diletakkan WARISAN bagi merampas kerusi Parlimen Kimanis, sama ada akan mengekalkan Karim atau menamakan pemimpin lain.
Di pihak pembangkang pula, hanya UMNO yang sudah mengesahkan akan bertanding setakat ini, manakala belum ada pengumuman rasmi daripada parti lain seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) atau mana-mana pemimpin individu yang mungkin bertanding sebagai calon Bebas.