SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) secara rasminya mengumumkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P176 Kimanis akan diadakan pada 18 Januari 2020.
Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, penamaan calon akan diadakan pada 4 Januari manakala tarikh mengundi awal ditetapkan pada 14 Januari tahun depan.
Katanya, pihak SPR menetapkan tempoh berkempen dibenarkan selama 14 hari bermula selepas penamaan calon sehingga 11.59 malam 17 Januari 2020.
“Pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi akan diadakan di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort.
“Seramai 653 petugas dilantik bagi mengendalikan proses PRK ini dengan keseluruhan 20 pusat mengundi mengandungi 69 saluran diwujudkan,”katanya dalam pengumuman yang dibuat sebentar tadi.
Pada PRK ke-14, Parlimen Kimanis dimenangi oleh Penyandangnya Datuk Seri Anifah Aman dengan majoriti 156 undi mengalahkan Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang yang menerima 11,786 undi manakala seorang lagi calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail mendapat 1,300 undi.
Bagaimanapun, pada 2 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman sebagai tidak sah dan terbatal.