BERUANG madu atau nama saintifiknya, Helarctos malayanus terus diancam kepupusan apabila turut menjadi binatang peliharaan, selain buruan pemburu haram bagi mendapatkan organ dan hidangan eksotik.
Daripada hempedu hingga ke tapak kaki, setiap anggota serta organ haiwan terbabit mempunyai nilai ratusan ringgit menyebabkan ia terus diburu.
Di Sabah, daging dan bahagian anggota haiwan terbabit antara yang sering ditemui dijual secara terbuka di tamu dan penduduk Borneo secara tradisinya percaya hempedu haiwan itu mampu menyembuhkan kecederaan.
Jika di Sabah, ia dijual secara terbuka di pasar dan tamu, di Semenanjung pula, biasanya haiwan itu dijual menerusi laman sosial termasuk Facebook dan Instagram.

Ahli biologi hidupan liar yang juga Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC), Wong Siew Te, berkata ketiadaan undang-undang bagi mendakwa pemerdagangan haiwan menerusi laman sosial menyebabkan beruang madu terus menjadi mangsa penjualan berleluasa seperti di Facebook dan Instagram di Semenanjung.
Katanya, penjualan haiwan dilindungi secara terbuka dalam laman sosial amat membimbangkan dan jika tidak dikawal bermula sekarang, keadaan akan menjadi lebih teruk hingga satu tahap beruang madu akan pupus seperti badak Sumatera.

Ia terletak dalam Hutan Simpan Kabili-Sepilok dengan keluasan 2.5 hektar dengan sejak 2008, pusat itu sudah menyelamatkan 61 beruang madu yang menjadi mangsa pemerdagangan haiwan.
“Di Sabah, perdagangan beruang madu lebih terkawal menerusi langkah proaktif dilaksanakan BSBCC dan Jabatan Hidupan Liar untuk melindungi spesies beruang madu Borneo sejak beberapa tahun lalu.
“Apabila kita terima saja maklumat mengenai perdagangan beruang madu, kita akan terus siasat dan tahan mereka,” kata Siew Te.
Beruang madu terbahagi kepada dua subspesies iaitu Helarctos malayanus malayanus yang boleh ditemui di tanah besar Asia dan Sumatera, serta Helarctos malayanus euryspilus di Borneo.
Ia terdapat di seluruh Asia Tenggara iaitu India Timur, China Selatan, Kemboja, Laos, Mynmar, Thailand, Vietnam, Semenanjung Malaysia, Sumatera dan Borneo.
Ia juga di kategorikan sebagai haiwan terancam dengan peratus populasinya berkurangan sebanyak 30 peratus sejak lebih tiga dekad lalu dan diklasifikasikan terancam dalam senarai merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN).
Biarpun tiada jumlah tepat haiwan itu yang berada dalam hutan, peratus haiwan itu dipercayai terus menurun kerana penebangan hutan sejak 50 tahun lalu untuk tujuan pertanian, pembukaan ladang serta pemburuan haram.
Ia turut mengambil kira faktor beruang madu betina yang hanya mampu melahirkan sehingga empat anak sepanjang hayat, manakala jangka hayat beruang madu sehingga 14 tahun dalam hutan.
Di Sabah, haiwan itu dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997, meletakkan status haiwan berkenaan setaraf dengan Orang Utan dan badak Sumatera.
Memiliki haiwan dilindungi dan hasil haiwan dilindungi sepenuhnya tanpa kelulusan adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 serta penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun.
Siew Te berkata, negeri ini juga sedang memulakan langkah untuk mewujudkan pelan tindakan bagi melindungi beruang madu termasuk mengetahui jumlah sebenar beruang madu.

Katanya, kajian sedang dijalankan bagi mencari kaedah untuk mengetahui jumlah sebenar beruang madu yang ada dalam hutan dengan meneroka cara baharu untuk mengutip bulu beruang madu dalam hutan.
“Di hujung bulu ada folikel dan Asid Deosiribonukliek (DNA) yang membolehkan kita mengenal genetik dan jumlah beruang madu dalam hutan, namun ini memerlukan masa yang panjang,” katanya.
BSBCC adalah satu-satunya pusat pemeliharaan tunggal bagi beruang madu di dunia.
Ia terletak dalam Hutan Simpan Kabili-Sepilok dengan keluasan 2.5 hektar dengan sejak 2008, pusat itu sudah menyelamatkan 61 beruang madu yang menjadi mangsa pemerdagangan haiwan.
Tahun lalu, seramai 78,218 pengunjung dari dalam dan luar negara mengunjungi BSBCC.