Sejarah Lanun Selatan Filipina

CATATAN PERISTIWA BERDARAH DI SEMPORNA, SABAH PADA 29/4/1954

29 April 1954 adalah tarikh malang bagi penduduk Semporna.

Hari berdarah yg mengorbankan nyawa dan harta benda.Tidak terkecuali ada yang dicabul kehormatannya dan diperkosa.

Pirate in Semporna

Tarikh hitam itu masih kekal dalam ingatan penduduk yang melalui peristiwa berdarah akibat perbuatan ganas mundu-mundu (lanun-lanun) yang datangnya entah dari mana.

Pekan Semporna yang terletak di pinggir laut itu seperti mana biasa,aman dan damai.Petang itu, udara menghembus nyaman dari laut biru yang tenang itu.

Padang bola sepak yang terletak berhampiran dengan Balai Polis Semporna itu telah pun dipenuhi oleh peminat-peminat bolasepak yang saban petang ramai pengunjungnya.Mereka bermain dengan begitu seronok sekali.Beberapa anggota polis yang sememangnya memiliki hubungan baik dengan masyarakat setempat turut beriadah bersama.

Balai Polis Semporna yang terletak di bawah Kawalan Ketua Polis Daerah (OCPD) Lahad Datu mempunyai anggota seramai 7 orang sahaja. Ketua Polis Balai (OCS)- nya ialah Sarjan Sagar Singh.Perhubungan antara Balai Polis Semporna dengan ibu pejabat daerahnya di Lahad Datu hanya menerusi radio wireless dan jalan laut yang memakan masa lebih kurang 10 jam perjalanan.

Balai Polis Semporna

Peristiwa berdarah itu masih segar dalam ingatan Encik Bullah Ganggal,bekas pegawai polis yang baru bersara dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP).En.Bullah,keturunan Kadazan,semasa kejadian itu bertugas di balai polis tersebut dengan pangkat Detektif Lans Koperal.

“Segala-galanya bermula pada jam 5.30 petang. Pada masa itu penduduk-penduduk Semporna sedang berehat setelah kembali dari menangkap ikan”,En.Bullah Ganggal memulakan ceritanya.

“Para pemuda pula sedang seronok bermain bola. Saya turut berada berhampiran padang bola itu.Tiba-tiba bunyi tembak bertalu-talu dari arah jeti yang tidak jauh dari situ.Orang di pekan dan di padang itu mula lari bercempera sambil berteriak, ‘mundu! mundu ! (lanun ! Lanun !).cepat lari. Masing-masing mencari tempat perlindungan “.

“Melihatkan keadaan kelam-kabut dan serangan mengejut lanun itu,Sarjan Sagar Singh segera memerintahkan orang-orangnya bersiap sedia.Dia memerintahkan saya membawa isteri dan anak-anak anggota polis Semporna berlindung di dalam kawasan balai.Ini disebabkan kawasan balai itu lebih selamat kerana adanya pagar berduri dan segala senjatapi serta peluru turut ada di sana “.

Peristiwa Berdarah di Semporna

L/Kpl Bullah Ganggal segera menjerit memanggil semua isteri dan anak-anak polis untuk mengikutnya menuju ke kawasan balai.

“Saya dapat melihat dari celah-celah lubang berek kami,lanun-lanun yang jumlahnya kira² 70 orang itu telahpun hampir dengan Balai Polis Semporna. Mereka berpecah kepada dua kumpulan.Satu kumpulan mara ke balai polis satu lagi ke arah bot jabatan hutan ”.

Sementara itu di balai polis,Sarjan Sagar Singh dengan dibantu oleh 2 orangnya iaitu PC 442 Sulaiman dan PC Jambuan mula menghujankan peluru ke arah lanun-lanun yang begitu ramai itu. Sarjan Sagar Singh dan orangnya sekali-kali tidak mahu menyerah kalah kepada lanun-lanun itu sekalipun terpaksa mengorbankan nyawa mereka.

Lanun² itu turut menghujankan peluru ke arah balai yang dipertahankan bermati-matian oleh Sarjan Sagar Singh itu sambil memusnahkan alat-alat hubungan ‘wireless’ di luar balai itu.Dengan itu hubungan Balai Polis Semporna dengan Ibu Pejabat Daerah Polis Lahad Datu TERPUTUS.

Sarjan Sagar Singh dan dua orang anggotanya dengan penuh semangat dan berani terus melawan.L/Kpl Bullah Ganggal cuba untuk keluar dari tempat persembunyian untuk memberi bantuan tetapi dihalang oleh isteri Sjn.Sagar dan isteri-isteri anggota polis yang lain supaya jangan pergi dan melindungi mereka di situ.

Akhirnya dia memutuskan utk kekal di situ.Tambahan pula ketika itu dia tidak memiliki senjata di tangannya.Jika dia keluar,ianya ibarat seperti menyerah diri tanpa melawan.Dia hanya mampu melihat bagaimana rakannya PC Jambuan yang kehabisan peluru ditikam dengan barung (parang) dan dibunuh dengan kejam sekali di mana perutnya telah terburai.

Akhirnya kerana kehabisan peluru dan tambahan pula lanun-lanun yang ramai itu bersenjatakan senjata automatik,Sarjan Sagar Singh dan dua orang anggotanya terkorban.

Setelah mendapati Sjn Sagar dan orangnya terkorban,lanun-lanun itu lalu merempuh ke dalam balai polis.Bilik radio polis dipecah dan alat-alatnya dimusnahkan.Mereka juga memecahkan bilik kebal tempat menyimpan senjatapi dan peluru lalu merampasnya.

Lanun-lanun itu semakin menganas.Senjatapi mereka ditembak ke sana ke mari.Mereka terus menggeledah seluruh rumah dan kedai di pekan Semporna.

“Apa yang saya dengar lepas itu ialah teriakan dan jeritan minta tolong dari mangsa-mangsa lanun-lanun yang jahat itu.Mereka bukan sahaja merompak,mengambil apa sahaja barang-barang berharga,makanan malah mereka juga merogol wanita dan anak dara.Mereka sungguh kejam dan tidak berkeperimanusiaan langsung”,kata En.Bullah dengan perasaan amat geram.

“Apakan daya masa itu saya tidak bersenjata dan memikirkan pula keselamatan anak isteri anggota-anggota polis.Saya kesal tidak dapat membantu kawan-kawan saya yang gugur sebagai perwira negara.Lanun-lanun celaka itu telah bermaharajalela selama 3 jam iaitu dari jam 5.30 hingga 8.30 malam di pekan Semporna. Mereka melakukan pelbagai dosa yang tidak dapat diampun “, terang beliau lagi.

Menurut En.Bullah,dia tidak tahu dari mana datangnya lanun-lanun itu tetapi berdasarkan dari percakapannya,dia mengesyaki mereka dari Seberang (Filipina).

Selama 3 jam Semporna telah menjadi neraka. Lanun-lanun bertindak sewenang-wenangnya kerana tiada siapa berani melawannya.Akibatnya, Semporna musnah ibarat diserang garuda, menjadi padang jarak padang tekukur.Setelah lanun-lanun itu puas memuaskan hawa nasfu, mereka segera menghilangkan diri di lautan luas dengan kumpit-kumpit (perahu) yang dilengkapi dengan motosangkut laju.

“Bila mendapati lanun-lanun itu telah beredar,saya dan anak isteri anggota-anggota polis keluar dari tempat persembunyian di berek polis itu.Betapa sedih hati saya melihatkan rakan-rakan saya, Sjn Sagar, PC Jambuan, PC Gimun terkorban.Mayat mereka yang berlumuran darah itu dipeluk dan ditangisi oleh anak dan isteri masing-masing. Saya turut menitiskan air mata melihatkan peristiwa itu.Hingga hari ini ianya kekal dalam ingatan saya, ” ceritanya lagi.

L/Kpl Bullah segera mengambil alih tugas Ketua Polis Balai.Dia mendapati dua orang anggotanya masih hidup di mana mereka sedang bermain bola ketika lanun menyerang.Oleh kerana tidak sempat lari ke balai,kedua mereka terpaksa bersembunyi.

Setelah menguruskan mayat empat orang rakannya L/Kpl Bullah terus berbincang dengan Ketua Anak Negeri (Penghulu) Semporna, Panglima Jakarullah yang telahpun tiba di balai bersama-sama orangnya.

Dengan bantuan mereka,dia membuat rondaan di sekitar bandar Semporna untuk mengumpul mayat dan memberi pertolongan kepada orang yang cedera akibat kekejaman lanun-lanun tadi. Hasilnya mereka menemui mayat seorang pegawai hutan British, seorang pekedai Cina (tukang jahit) dan seorang pemuda Bajau Semonul. Mayat -mayat itu dibawa ke balai polis untuk diuruskan.

L/Kpl Bullah seterusnya mengadakan perbincangan dengan Panglima Jakarullah dan orang-orangnya pada malam kejadian itu.Mereka mengambil keputusan untuk menghantar 2 orang awam ke Lahad Datu bagi membawa pembantu hospital Harry Chew dan Lian Chap Yit yang luka parah untuk mendapatkan rawatan.Di samping itu,mereka juga diarahkan meminta bantuan segera dari KPD Lahad Datu yang tidak dapat dihubungi menerusi wireless radio.

Pada malam itu L/Kpl,Bullah dan Panglima Jakarullan serta orang-orangnya mengambil keputusan untuk berjaga dan berwaspada bagi menentang lanun-lanun yang mungkin datang sekali lagi.

Petang esoknya,30hb Mac barulah rombongan yang diketuai oleh Pegawai Daerah Lahad Datu, Mr.Dalimore dan Ketua Polis Daerah (OCPD), Mr.W.R.H. Roberts tiba untuk menyaksikan pekan Semporna yang hampir menjadi padang jarak padang tekukur itu.

Peristiwa ngeri itu amat menakutkan penduduk-penduduk Semporna. Ada di antara mereka yang lari bersembunyi tidak mahu balik ke rumah beberapa hari kerana takutkan lanun mengganas lagi.

Sources : Berita Bukit Aman,1983 via Carigold

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.