SANDAKAN: Tinggal beberapa hari lagi sebelum 2019 melabuhkan tirai, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) mencapai sasaran apabila merekodkan jumlah lebih sejuta penumpang yang mendarat di Lapangan Terbang Sandakan.
Rekod itu menunjukkan peningkatan sebanyak 15 peratus, berbanding 990,000 penumpang pada tahun lalu.
Dengan jumlah penumpang lebih sejuta, Lapangan Terbang Sandakan dianggarkan secara purata menerima kira-kira 30,000 penumpang sehari.
Kegembiraan itu turut dikongsikan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee menerusi laman Facebooknya sambil menyatakan kadar kenaikan itu adalah jauh melebihi jangkaan.
Shir Yee menerusi entri itu berkata, beliau berasa kagum dengan pencapaian itu dan teruja untuk membawa lebih ramai pelancong ke daerah ini tahun depan.
“Saya berasa kagum dan berbesar hati untuk meraikan kegembiraan ini bersama MAHB di mana satu juta penumpang telah pun mendarat di Lapangan Terbang Sandakan pada kali pertama dengan kadar kenaikan 15 peratus jauh melebihi jangkaan.
“Kami sangat teruja untuk membawa lebih ramai penumpang dan pelancong pada tahun depan.
“Adakah anda telah bersedia untuk #VisitSandakan2020? Saya sudah siap sedia!” katanya.
Pada 2017, Lapangan Terbang Sandakan menerima kira-kira 890,000 penumpang.

Projek pembesaran landasan Lapangan Terbang Sandakan yang bakal dilaksanakan dijangka akan melonjakkan lagi kedatangan pengunjung ke daerah ini kerana bakal memudahkan penerbangan langsung dari negara luar termasuk China, Taiwan, Hong Kong dan Korea.