KOTA KINABALU: Pengguna elektrik yang berdaftar dan sudah memberi cagaran secara tunai dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan menikmati rebat sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah wang cagaran tunai mereka yang dikira mengikut kadar purata.
Pengurus Besar (Komunikasi Korporat) SESB, Hajah Chendramata Sinteh, berkata pemulangan rebat berjumlah RM8.3 juta itu akan dikreditkan terus ke dalam akaun bil elektrik pengguna pada bulan Januari dan Februari ini.
Pemulangan semula rebat itu membabitkan sejumlah 573,767 pengguna di seluruh negeri Sabah dan Labuan.
“Wang cagaran elektrik ini dikenakan sebagai sekuriti kepada kerosakan atau untuk menjelaskan hutang tertunggak apabila pengguna menamatkan kontrak bekalan yang mana ia sejajar dengan peraturan 5(5) Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 1990.
“Ia dikira bersamaan dua bulan penggunaan bil elektrik berdasarkan purata bagi enam bulan terakhir dan akan disemak setiap enam bulan,” katanya menerusi kenyataannya di sini hari ini.
Chendramata turut menjelaskan penambahan wang cagaran hanya akan dikenakan sekiranya terdapat peningkatan penggunaan elektrik secara purata bagi enam bulan berbanding wang cagaran sedia ada.
“Bagaimanapun, jika purata penggunaan kurang daripada wang cagaran, maka ia boleh dipulangkan kepada pengguna atas permintaan pengguna melalui rebat kepada bil elektrik mereka,” katanya.
Chendramata berkata, untuk penerangan lebih terperinci, pengguna boleh datang sendiri ke cawangan SESB berdekatan atau menghubungi talian perkhidmatan pelanggan 15454 atau 088-515000.