SELESAI sudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, YB baharu pun sudah ada. Kimanis kembali tenang seperti sebelum PRK.
Orang bilang, tidak kiralah YB itu dari pembangkang, kerana itulah pilihan rakyat di Kimanis. Keputusan sudahpun dibuat.
Bagi calon yang tidak berjaya, PRK itu bukan penamat kerana selepas ini ada Pilihan Raya Umum (PRU) pula. Tiga tahun lagi bukannya lama.
Cuma, penulis ingin mengimbas semula sepanjang dua minggu kempen PRK itu, banyak perkara menarik yang berlaku.
Bayangkan, dari sebuah kawasan yang tenang, kurang dipandang masyarakat luar, Kimanis menjadi kawasan panas sekejap.
Ia menjadi perhatian seluruh negara. Pemimpin dan bekas pemimpin negara semua turun ke Kimanis.
Dari Ulu Kimanis di kaki Banjaran Crocker ke Binsulok di pesisiran Laut China Selatan, sebutlah di mana, semua dijejaki mereka.
Bossku, gelaran popular bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut berkampung di Kimanis.
Malah, Ketua.Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan jemaah menteri Pusat serta negeri juga hari-hari berada di sekitar Kimanis.
Jentera parti yang berkempen datang dari seluruh negara, menggambarkan betapa pentingnya Kimanis sepanjang dua minggu bermula 4 Januari hingga 18 Januari lalu.
Sepanjang tempoh itu macam-macam berlaku, serang-menyerang antara parti yang bertanding menjadi perkara lumrah dalam usaha masing-masing untuk menawan hati pengundi.
Tapi, yang paling panas sudah tentu isu Pas Sementara Sabah (PSS). Semua kempen Barisan Nasional (BN) atau pembangkang membantai pelaksanaan PSS.
Kempen parti kerajaan pula menjawab tuduhan dan memberi penjelasan panjang lebar mengenai PSS, hinggakan penduduk kampung pun dikuliahkan dengan segala hujah ilmiah.
Maka, jadilah kempen berbalas tuduhan dan penjelasan di antara parti pembangkang dan kerajaan, namun akhirnya rakyat Kimanis yang membuat keputusan.
Mereka memilih memenangkan calon pembangkang yang diwakili BN, Datuk Mohamad Alamin. Kebanyakan pastinya teetarik kerana isu PSS yang disuarakan mereka dalam setiap kempen.
Bermacam-macam kemungkinan dan kebimbangan disuarakan jika PSS dilaksanakan, membuatkan rakyat takut, bukan saja pengundi di Kimanis, malah di seluruh Sabah.
Begitulah berkesannya kempen pembangkang menggunakan isu PSS yang dijadual diberikan kepada pendatang asing di Sabah mulai Jun depan.
Namun, sebenarnya sejak diumumkan pada September tahun lalu lagi sudah ramai yang menyuarakan bantahan terhadap PSS, namun kerajaan tetap dengan pendirian untuk meneruskannya.
Banyak alasan mereka, antaranya ia dikatakan terlebih dahulu diputuskan kerajaan BN sebelum ini dan hanya meneruskannya dengan dijenamakan semula sebagai PSS.
Dokumen baharu itu pula dikatakan untuk menyelesaikan isu pemalsuan dokumen sedia ada sekarang seperti IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.
Namun, pembangkang bijak menjadikannya isu untuk menarik sokongan rakyat dengan membangkitkan kebimbangan kononnya pendatang asing akan bertambah ramai jika PSS dilaksanakan.
Isu berkaitan pendatang asing sememangnya sangat sensitif dalam kalangan warga tempatan di Sabah, jadi tidak hairanlah mereka terpengaruh dengan dakyah pembangkang.
Maka, tidak hairanlah mengapa pengundi Kimanis menolak calon kerajaan diwakili Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang.
Jika isu PSS diselesaikan atau lebih tepat dimansuhkan sebelum PRK itu ada kemungkinan Karim dapat memenangi kerusi Parlimen Kimanis.
Hanya selepas kekalahan pada PRK itu, barulah kerajaan negeri membuat keputusan untuk tidak meneruskan PSS dan langkah itu turut dipersetujui Kementerian Dalam Negeri.
Walaupun sudah terlambat, apa yang jelas suara rakyat Sabah yang dibangkitkan pembangkang untuk menentang PSS akhirnya didengari.
Ada yang berpendapat, biarlah pembangkang menang PRK Kimanis, asalkan isu PSS tidak berterusan menjadi beban dan menyukarkan usaha kerajaan sekarang mempertahankan kedudukan pada PRU akan datang.