KOTA KINABALU: Seiring dengan perkembangan teknologi semasa, usaha menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan terus diberi keutamaan termasuklah mempermudahkan masyarakat membuat pertanyaan dan aduan di peringkat jabatan dan kementerian.
Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, maklum balas mahupun aduan awam merupakan eleman penting dalam memastikan perkhidmatan yang ditawarkan sentiasa relevan dan memenuhi kehendak.
Tambahnya, saluran lebih interakif khususnya melalui talian perkhidmatan aplikasi WhatsApp sudah pasti memudahkan masyarakat menyalurkan aduan yang akhirnya menuntut dan membantu jabatan menangani krisis berkaitan di peringkat yang lebih awal.
Datuk Frankie berkata demikian semasa hadir merasmikan Pelancaran Aplikasi Whatsapp melalui talian Sabah Healthline bertempat di Audiotrium, Institut Tadbiran Awam Negara, Kampus Sabah (INTAN) pagi Khamis. (30 Januari 2020)
Berdasarkan data dan statistik dan kepelbagaian aduan yang diterima, terdapat aduan yang bersifat mudah dan boleh diselesaikan dengan kadar segera.
Misalnya aduan pesakit menunggu giliran terlalu lama, kerosakkan nombor panggilan, ketiadaan pegawai bertugas, kerosakan tandas dan sebagainya.
‘Aduan seumpama ini boleh diselesaikan tanpa perlu direkodkan sebagai aduan rasmi dan dapat mengurangkan aduan-aduan yang berulang. Ini tidak bermaksud Jabatan tidak mengambil berat aduan-aduan lain, sebaliknya talian Sabah Healthline membantu para penyelaras untuk menyelaras aduan dengan lebih sistematik mengikut tempoh masa dan prosedur yang ditetapkan’, jelasnya.
Terdahulu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr. Christina Rundi pada ucapan alu-aluanya berkata, usaha memperkenalkan aplikasi Whatsapp melalui talian Sabah Healthline adalah usaha ke hadapan jabatan bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kesihatan dan perubatan di negeri ini.
Selain bertujuan menambahbaik sistem perkhidmatan penyampaian yang sedia ada, aplikasi WhatsApp melalui talian Sabah Healthline bertujuan menambah variasi saluran perkhidmatan kepada umum sekaligus menyelesaikan aduan bersifat mudah dengan segera’,jelas Christina.
Pada masa ini Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menyediakan saluran perhubungan termasuklah saluran aduan meliputi Portal rasmi Jabatan, Emel, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) termasuklah Facebook dan saluran melalui Peti Cadangan.
Kaedah perlaksanaan Sabah Healthline adalah mudah. Pelanggan hanya perlu menaip Sabah Healthline dan Whatsapp ke talian 019 8602929. Pelanggan akan menerima maklumbalas secara automatik dan perlu mengisi butiran seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat serta keterangan maklum balas atau aduan.
‘Semua maklum balas dan aduan akan disalurkan kepada Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang berkenaan untuk tindakan selanjutnya’, jelasnya.
Tambahnya, skop perkhidmatan Sabah Healthline meliputi semua fasiliti kesihatan yang merangkumi Jabatan Pesakit Luar Hospital/Klinik Kesihatan; Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital; Klinik Kesihatan Pergigian; Klinik Kesihatan Ibu dan Anak dan Klinik Komuniti/Klinik Desa.
Hadir sama pada majlis pelancaran Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Timbalan-timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Pengarah-pengarah hospital seluruh sabah, Ketua-ketua pusat tanggungjawab (PTJ) serta warga Jabatan kesihatan negeri.
Nota: Kenyataan Akhbar disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.