Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) sangat kecewa atas kegagalan seorang penyelia penerbangan Malaysia Airlines untuk mendapatkan keadilan di Mahkamah Perindustrian setelah diberhentikan atas alasan “berat badan berlebihan.”
Ini adalah kes diskriminasi – lebih khusus lagi, diskriminasi berat badan. Dan kami amat terkejut dan kesal dengan cara Malaysia Airlines memalukan dan mendiskriminasi pekerja mereka yang dikatakan mempunyai “berat badan yang berlebihan”.
Malaysia Airlines perlu membuktikan bahawa kriteria berat badan bagi pramugari adalah ciri yang amat diperlukan bagi pekerjaan itu. Cuma sekadar memberi justifikasi atas dasar “imej” dan “keselamatan” adalah tidak mencukupi. Tambahan lagi, bagaimanakah berat badan tambahan sebanyak 0.7 kilogram boleh mempengaruhi prestasi kerja seseorang? Kebolehan seseorang pramugari dalam memberikan perkhidmatan yang cemerlang terletak pada kemahiran interpersonal mereka, dan bukannya berat badan mereka.
Di sebalik justifikasi “mengekalkan imejnya sebagai penerbangan premium”, lahirlah idea bahawa imej pramugari hanyalah sebagai penyeri mata sahaja – satu idea yang berdasarkan standard kecantikan yang seksis dan tidak realistik.
Jika Malaysia Airlines ingin menjadi salah satu syarikat penerbangan yang dihormati, sudah tiba masanya kesemua pramugari dan pekerja dihormati dan dilayan dengan sewajarnya.
Kes ini juga menunjukkan bahawa kia memerlukan undang-undang anti-diskriminasi yang lebih ketat.
Kementerian Sumber Manusia perlulah memasukkan peruntukan anti-diskriminasi ke dalam Akta Kerja secepat mungkin. Ini akan membantu dalam memastikan para majikan bertindak dengan sewajarnya di samping memudahkan para pekerja yang ditindas dan menghadapi diskriminasi untuk mendapatkan keadilan.
Kami juga kecewa apabila Mahkamah Perindustrian gagal untuk mencabar rasional di sebalik polisi pengurusan berat badan Malaysia Airlines.
Para hakim memerlukan latihan mengenai diskriminasi gender supaya mereka bersiap sedia untuk menggunakan peruntukan undang-undang dalam berhadapan dengan kes-kes diskriminasi.
Degan mengatasi diskriminasi, kita dapat mewujudkan ruang kerja yang lebih inklusif untuk semua.
Kenyataan Media disediakan oleh Women’s Aid Organisation