Dianggarkan sekitar 40 % perniagaan startup (syarikat pemula) dan perusahaan sosial (social enterprise) mungkin ‘lumpuh’ sekiranya pandemik Covid-19 berlarutan sehingga Hari Raya Aidilfitri.
Penemuan ini diperolehi hasil daripada kajian selama empat hari bermula 19 hingga 22 Mac, 2020 yang dijalankan oleh Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC).
Sebanyak 239 usahawan startup dan perusahaan sosial daripada pelbagai industri, termasuklah Pendidikan, Perisian Teknologi Maklumat, Barang Dagangan, Makanan dan Minuman, Pelancongan,Pertanian dan Penjagaan Kesihatan telah mengambil bahagian dalam kajian pendapat ini.
Menurut kajian itu, sebanyak 15.9% responden percaya bahawa perniagaan mereka tidak akan bertahan lebih daripada sebulan sekiranya situasi semasa berlanjutan, manakala sebanyak 24.7% responden mengatakan bahawa perniagaan mereka tidak mampu bertahan lebih daripada dua bulan.
Hampir separuh (46.4%) daripada startup dan perusahaan sosial mengatakan bahawa mereka mampu untuk bertahan untuk tempoh 3 hingga 6 bulan akan datang, manakala baki sebanyak 2.9% yakin
sekiranya situasi semasa berlanjutan selama lebih daripada 12 bulan, mereka mampu bertahan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Dzuleira Abu Bakar, sokongan kewangan akan dapat membantu meringankan beban aliran tunai bagi perniagaan startup dan perusahaan sosial di kala mereka bergelut dengan kos perniagaan.
Tambah beliau, sebanyak 77% responden mula terjejas teruk susulan Perintah Kawalan Pergerakan, khususnya mereka yang terbabit dalam industri Pendidikan dan Pembelajaran, Makanan dan Minuman, Perisian Digital/Teknologi Maklumat, Media, Barang Dagangan dan Pelancongan.
“Dalam kajian ini, apabila diajukan oleh pihak kami tentang bantuan yang perlu disegerakan, majoriti daripada mereka mengharapkan bantuan kewangan dan ini tidak mengejutkan”, ujar Dzuleira, yang
telah membentangkan hasil kajian kepada pengurusan atasan kementerian pada 25 Mac.
Menurut kajian MaGIC ini, sejumlah 35.1% responden berkata mereka memerlukan pinjaman sementara itu, sebanyak 23.8% ingin mendapatkan geran atau subsidi dan baki sebanyak 3.8% meminta penangguhan bayaran pinjaman.

Moratorium pembayaran pinjaman dan bantuan-bantuan lain.
Dzuleira mengalu-alukan pengumuman Bank Negara Selasa lalu (24 Mac) berkenaan moratorium pembayaran semula pinjaman sehingga enam bulan.
Tambahnya, sebarang bantuan lanjut seperti geran atau pinjaman boleh dimanfaatkan bagi tujuan mengembangkan perniagaan serta meringankan beban perbelanjaan operasi.
“Langkah Bank Negara menurunkan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) daripada 3% kepada 2% yang berkuat kuasa 20 Mac, dianggarkan menambah sekitar RM14.4 bilion mudah tunai ke dalam sistem perbankan.
“Selain daripada moratorium pinjaman, adalah diharapkan bank-bank tempatan dapat memperuntukkan sebahagian daripada kecairan tunai ini untuk startup dan perusahaan sosial,” tambahnya.
“Dengan moratorium pinjaman, saya yakin ramai akan menghela nafas lega, yang mana ianya dijangkaakan dapat membantu kedudukan aliran tunai mereka,” katanya.
Yang menariknya, walaupun ramai responden mengharapkan bantuan kewangan, boleh dikatakan sebahagian besar (74.9%) responden tidak sedar atau tidak pasti akan pelbagai tawaran sokongan ataupun insentif yang ditawarkan ketika ini.
Hanya sebanyak 12% responden yang tahu dan layak bagi mendapatkan Kemudahan Bantuan Khas COVID-19 oleh Bank Negara dan MyCIF P2P oleh Suruhanjaya Sekuriti.
Menurut Dzuleira, MaGIC akan terus membantu usahawan-usahawan memanfaatkan insentif yang sedia ada, mengalakkan peluang jalinan rangkaian disamping meneruskan inisiatif pembangunan
kapasiti yang dianjurkan MaGIC.
MaGIC: Inisiatif bagi memupuk peluang jalinan rangkaian dan kewangan
Tatkala kebanyakan responden meluahkan rasa perlunya sokong sokongan seperti bantuan kewangan bagi mengharungi ketidaktentuan ekonomi.
Terdapat sebanyak 20.1% responden menekankan keperluan selain daripada bantuan kewangan sebagai contoh; pemasaran, padanan perniagaan, capaian pasaran, dan ini termasuklah program pembangunan kapasiti atau keupayaan.
“MaGIC bersedia untuk membantu para usahawan mempromosikan konsep keusahawanan dan perusahaan sosial kepada pihak korporat dan membantu mereka meneroka pasaran baharu, sama ada tempatan ataupun luar negara menerusi platform digital dan e-Dagang.
“Kami juga bersedia untuk membekalkan usahawan-usahawan dengan peluang jalinan rangkaian dan padanan perniagaan dengan usahawan startup lain agar mereka dapat berkongsi sumber,” kata Dzuleira.
MaGIC: Inisiatif Pembinaan Kapasiti Diteruskan
Selain itu, MaGIC akan menawarkan pengecualian sewa selama 5 bulan bagi ruang kerja bersama di premisnya di Cyberjaya dan Kuching, bertujuan bagi membantu meringankan keadaan aliran tunai
usahawan.
“Program-program MaGIC yang dibina khusus untuk impak ekonomi dan kesan sosial yang tinggi.
“Di saat-saat yang mencabar, amatlah penting agar kita mempunyai sebuah ekosistem yang aktif dan mampan bagi memastikan startups dan perusahaan sosial bertahan dan terus berkembang maju”,tambah Dzuleira.
Sehubungan itu, MaGIC terus membantu startup dalam program pembangunan kapasiti menerusi Pembelajaran Elektronik (e-Learning) ketika pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan.
Dua ‘bootcamp’ yang telah dijadualkan Mei ini akan dianjurkan di platform atas talian, manakala dua lagi ‘bootcamp’ yang dijadualkan Jun, kemungkinan besar akan dilaksanakan mengunakan kaedah yang sama.
Buat pengetahuan umum, sesi atas talian yang diadakan dalam bulan April adalah secara percuma.