Sumber Kenyataan: Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)
Daripada maklumat polisi yang telah diterbitkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu, menekankan bahawa kesan yang diakibatkan oleh pandemic COVID-19 telah membawa kepada ketidaksaksamaan jantina, dengan impak ekonomi yang tidak seimbang kepada wanita dan kanak-kanak perempuan, peruntukan semula sumber penjagaan kesihatan yang menjadi keperluan khusus wanita dan kanak-kanak perempuan, dan peningkatan perkhidmatan penjagaan tidak berbayar serta peningkatan kes keganasan berasaskan jantina.
Tanpa langkah-langkah yang sensitif jantina dan bersasar dalam menangani kedua-dua kesan jangka masa panjang dan jangka masa pendek pada ketika krisis yang berlaku, kita berisiko untuk kehilangan kemajuan terhad yang dicapai dalam kesaksamaan jantina hasil usaha keras yang telah dilakukan di Malaysia sejak dua dekad yang lalu.
Impak ketidakseimbangan ekonomi yang mempengaruhi wanita dan kanak-kanak perempuan
Maklumat polisi PBB yang bertajuk “Impak COVID-19 ke atas Wanita,” telah memberi amaran mengenai impak ekonomi yang tidak seimbang diakibatkan oleh pandemik ini ke atas wanita yang menyebabkan wanita mendapat pendapatan yang lebih rendah, mempunyai simpanan yang bernilai lebih rendah, mendapat pekerjaan yang tidak tetap atau tidak menjamin pendapatan stabil, dan kebiasaannya hanya bekerja dalam sektor tidak formal.
Menurut kajian, peratus wanita yang berumur antara 25 hingga 54 tahun yang berada dalam pasaran kerja adalah 29% lebih rendah daripada bilangan lelaki di dalam kumpulan umur yang sama.

Dengan 740 juta wanita di seluruh dunia bekerja dalam sektor ekonomi tidak formal, ini bermakna daripada keseluruhan wanita yang berada di dalam pasaran kerja global, peratusan yang signifikan bekerja dalam pekerjaan tidak formal.
Di Malaysia, kira-kira satu per empat wanita bekerja berada di bawah kategori pekerjaan tidak tetap, sama ada mereka bekerja sendiri, pekerja tidak formal, atau pekerja keluarga tidak bergaji.
Golongan wanita ini tidak mempunyai jaminan keselamatan seperti mereka yang bekerja di dalam sektor formal dan amat terdedah kepada kehilangan pendapatan atau separuh pendapatan ketika pandemik berlaku.
PBB menyarankan supaya kerajaan mengambil beberapa langkah terancang ke arah memperkasakan ekonomi golongan wanita akibat impak negatif COVID-19.
Ini merangkumi bantuan kewangan secara terus kepada wanita, memperkenalkan pengecualian cukai kepada perniagaan milik wanita, dan memperkenalkan penilaian jantina sebagai sebahagian daripada penilaian terancang negara yang bertujuan untuk memahami impak COVID-19 ke atas wanita dan kanak-kanak perempuan dan bagaimana untuk menanganinya secara efektif.
Peruntukan semula sumber penjagaan kesihatan untuk menangani keperluan khusus wanita dan kanak-kanak perempuan
Kajian PBB turut menekankan tentang isu halangan akses kepada wanita dan kanak-kanak perempuan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan bagi memenuhi keperluan khusus mereka sebagai sumber pekhidmatan yang tidak diperuntukkan.
Sememangnya, ketika krisis seperti pandemik yang sedang berlaku ini, sudah ada halangan akses kepada penjagaan kesihatan khusus wanita kerana infrastruktur yang serba kekurangan.
Perkhidmatan kesihatan wanita juga terjejas akibat tidak dianggap oleh kerajaan sebagai hak asas golongan wanita. Antara perkhidmatan yang berisiko adalah perkhidmatan penjagaan kesihatan seksual dan kesihatan wanita.
Di Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menutup kliniknya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), satu tindakan yang akan menyekat akses kontraseptif.
Tindakan ini terutamanya akan menyebabkan kesukaran dalam kalangan wanita untuk menangani masalah kehamilan tidak dirancang dalam keadaan masalah kewangan.
Wanita juga berisiko besar untuk terdedah kepada jangkitan COVID-19 kesan daripada ketidakseimbangan jantina dalam pekerjaan: 70% daripada tenaga kerja sektor kesihatan terdiri daripada wanita.
Di Sepanyol, 72% daripada pekerja kesihatan yang dijangkiti COVID-19 adalah wanita, sementara di Itali 66% daripada pekerja kesihatan yang dijangkiti adalah wanita.
Di Malaysia, 97% jururawat adalah wanita, bermakna wanita berisiko oleh kerana pekerjaan mereka.
Selain daripada jururawat, bidan, dan pekerja kesihatan komuniti, wanita juga menjadi majoriti di dalam pekerjaan sektor perkhidmatan—daripada tukang cuci kepada katerer—kakitangan sokongan kesihatan, yang meningkatkan lagi risiko secara keseluruhannya.
Bagi kerajaan untuk menangani risiko kesihatan khusus wanita dan kanak-kanak perempuan ketika pandemik ini berlaku, PBB menyarankan sebaran mesej bersasar tentang kesihatan umum kepada wanita dan kanak-kanak perempuan.
Tambahan lagi, kerajaan perlu melaksanakan langkah-langkah untuk menangani keperluan pekerja kesihatan wanita dan mereka yang bekerja sebagai anggota sokongan dalam sektor kesihatan.
Ini termasuk memastikan Kelengkapan Perlindungan Peribadi seperti topeng muka dengan saiz yang sesuai untuk wanita dan tidak membiarkan mereka terdedah kepada jangkitan, serta membekalkan keperluan sanitasi dan kebersihan (termasuklah tuala wanita dan sabun) yang mencukupi bagi pekerja kesihatan wanita, serta wanita dan kanak-kanak perempuan yang dikuarantin.
Peningkaran Pekerja Jagaan Tidak Berbayar
Menurut maklumat polisi PBB, “Krisis global COVID-19 telah menunjukkan dengan jelas bahawa ekonomi formal dunia dan pengurusaan kehidupan sehari-hari kita terbina atas tenaga kerja tidak berbayar oleh wanita dan kanak-kanak perempuan yang tidak terlihat.”
Sebelum pandemik ini berlaku, wanita melakukan kerja tidak berbayar dalam kerja-kerja rumah dan penjagaan tiga kali ganda lebih daripada lelaki.
Kini, dengan anak-anak yang tidak ke sekolah, lebih banyak makanan yang perlu disediakan, dan penjagaan orang tua serta keluarga yang sakit, telah meningkatkan lagi beban buat wanita. Kajian pada tahun 2019 oleh Institut
Kajian Khazanah mendapati wanita Malaysia menggalas ‘beban berganda’ di mana mereka terpaksa menghabiskan lebih 64% masa mereka lebih daripada lelaki dalam melaksanakan kerja yang tidak berbayar, walaupun mereka turut bekerja dengan jangkamasa yang sama dengan lelaki di dalam pekerjaan berbayar.
Kajian PBB juga memberi amaran bahawa dengan penutupan sekolah, remaja perempuan akan melakukan kerja rumah lebih banyak berbanding remaja lelaki.
Jutaan kanak-kanak perempuan berkemungkinan tidak boleh untuk meneruskan pelajaran, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman atau hidup dalam kemiskinan.
Pandemik yang berlaku sebelum ini telah menunjukkan kanak-kanak perempuan berisiko untuk tidak meneruskan pelajaran, walaupun setelah krisis berakhir.
Saranan PBB untuk menangani ketidaksamaan.
Antara saranan yang telah diberi oleh PBB adalah supaya kerajaan cuba untuk menangani ketidaksaksamaan ini dengan menyediakan perlindungan sosial yang inklusif kepada pengasuh/penjaga untuk berhadapan dengan kesan kepada beban kerja tidak berbayar mereka; meluaskan bantuan penjagaan kanak-kanak kepada ibu bapa yang bekerja—termasuklah mereka yang berada dalam sektor tidak formal—sewaktu sekolah dan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak ditutup; dan meneruskan program bantuan makanan dengan penyesuaian kepada konteks semasa dengan menyediakan bekalan makanan beserta penghantaran atau diambil sendiri.
Peningkatan Kes Keganasan Berasaskan Jantina
Pada ketika kerajaan seluruh dunia melaksanakan langkah-langkah kritikal untuk mengawal penularan virus COVID-19 dan menjaga keselamatan komuniti, terdapat banyak laporan peningkatan kes keganasan ke atas wanita dan kanak-kanak yang terperangkap di rumah bersama pendera.
WAO pada awalnya melaporkan 44 peratus peningkatan dalam panggilan ke Hotline WAO dan pertanyaan WhatsApp dari Februari hingga Mac 2020, pada ketika Perintah Kawalan Pergerakan mula dikuatkuasakan.
Kemudiannya, kami melihat peningkatan yang lebih tinggi: pada separuh pertama April, WAO menerima 264 panggilan dan pertanyaan WhatsApp, iaitu 111.2 peratus peningkatan berbanding 125 panggilan dan pertanyaan WhatsApp dalam tempoh 14 hari pada bulan Februari.
Ramai pemandiri keganasan rumahtangga berhadapan dengan ketidakpastian mengenai cara untuk mendapatkan perlindungan pada waktu ini: dalam sesetengah kes, balai polis berjaya menjalankan misi menyelamatkan pemandiri daripada rumah mereka, sementara dalam kes yang lain, pemandiri telah dinafikan pertolongan dan disuruh untuk pulang dan datang semula setelah Perintah Kawalan Pergerakan tamat.
Bagi memastikan pemandiri keganasan berasaskan jantina menerima bantuan yang mereka perlukan ketika pandemik, PBB telah memberi beberapa saranan kepada kerajaan, termasuklah untuk menyenaraikan rumah perlindungan keganasan rumahtangga sebagai perkhidmatan penting dan meningkatkan bantuan sumber kepada mereka serta pekerja awam yang berada di barisan hadapan; mengenalpasti ruang yang selamat bagi wanita untuk melaporkan kes penderaan tanpa pengetahuan pendera, contohnya seperti di kedai runcit atau farmasi; dan menyediakan akses kepada perkhidmatan kritikal secara atas talian.
Perancangan Masa Hadapan
Selain daripada saranan khusus yang telah disarankan, maklumat polisi PBB memberi penekanan kepada tiga kepentingan bagi negara dalam mengambil langkah sensitif jantina dalam respon pandemik.
Kepentingan tersebut adalah
1) memastikan penyertaan sama rata oleh wanita di dalam kesemua perancangan dan pembuatan keputusan berkenaan respon COVID-19;
2) memacu perubahan transformatif untuk kesaksamaan dengan menangani ekonomi penjagaan berbayar dan tidak berbayar;
dan 3) menyasarkan wanita dan kanak-kanak perempuan di dalam kesemua usaha bagi menghadapi impak sosioekonomi COVID-19.
Satu perkara yang ditegaskan oleh kajian PBB adalah, tanpa tindakan yang dirancang rapi, ketidaksaksamaan jantina yang sudah sedia wujud akan menjadi lebih teruk disebabkan oleh pandemik. Daripada kita membiarkan sahaja usaha yang telah dilakukan ke arah kesaksamaan jantina terus musnah, sekarang adalah masanya untuk mengambil tindakan ke arah Malaysia yang lebih baik dan saksama.
Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)
Sejak tahun 1982, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menyediakan kaunseling, rumah perlindungan dan sokongan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan. Kami menyokong wanita serta anak-anak mereka membina kehidupan semula, setelah mengharungi keganasan rumah tangga, rogol, pemerdangan dan keganasan-keganasan yang lain. Mempelajari daripada pengalaman wanita, kami berusaha untuk mengukuhkan dasar awam serta meningkatkan kesedaran masyarakat. Bersama-sama kita mengubah kehidupan.
Jika anda memerlukan bantuan, sila hubungi Talian Bantuan WAO di 03 7956 3488 atau SMS/WhatsApp TINA di 018 988 8058. Untuk maklumat lanjut, sila layari wao.org.my.