Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan sejak 18 Mac lalu yang bertujuan untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19 di Malaysia turut memberi kesan kepada pelbagai sektor ekonomi negara.
Antara sektor-sektor yang teruk terjejas termasuklah sektor pelancongan, perniagaan, perkhidmatan dan pengeluaran makanan seperti pertanian, perikanan dan akuakultur.
Hal ini, walaubagaimanapun, adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan bagi memastikan usaha menangani ancaman COVID-19 berjaya sepenuhnya.
Menyedari hakikat ini, Rakan Akuakultur Universiti Malaysia Sabah (RA-UMS) telah menganjurkan program “Sembang Santai Akuakultur” bersama pakar-pakar dari UMS dan pengusaha akuakultur secara atas talian bagi membincangkan kesan PKP secara langsung terhadap perusahaan akuakultur di seluruh negara.
Menurut Ketua RA-UMS, Prof. Madya Dr. Julian Ransangan yang bertindak sebagai moderator program tersebut, usaha yang menghimpunkan rakan akademik dan pengusaha akuakultur dari negeri Sabah, Sarawak, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Pulau Pinang adalah bertujuan untuk memberikan pandangan mengenai impak PKP terhadap perusahaan akuakultur yang berlaku di negeri masing-masing.
“Sesi perkongsian ini turut disertai Dr. Rafidah Othman yang merupakan pakar dari Ohio, Amerika Syarikat, dan pengusaha akuakultur Global Trade Resources dari Jakarta, Ng Yoon Seong.
“Selain itu, beberapa pengusaha ternakan akuakultur dalam negara turut serta dalam sembang santai ini, antaranya pengusaha ternakan ikan sangkar terbesar di Langkawi, Mohd Addin Aazif Mokhtar; pengusaha akuakultur Batu Payung Tawau, Jantzen Chai; pengusaha ternakan udang Zeigler Shrimp Hatchery, Sri Kembangan Selangor, Ku Azhari Ku Baharum,” katanya.
Cabaran sektor akuakultur
Dalam pada itu, Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS, Prof. Madya Dr. Sitti Raehanah Muhamad Shaleh berkata, melalui sesi perkongsian tersebut, beberapa cabaran terhadap sektor akuakultur telah digariskan bersama antara pengusaha akuakultur dan rakan akademik.
Antara cabaran tersebut adalah kesukaran para pengusaha untuk memasarkan hasil ternakan mereka, dengan salah satu punca adalah kerana sekatan jalan raya yang dilaksanakan sepanjang PKP menyukarkan pengusaha memasarkan hasil ternakan mereka di kawasan berhampiran, dan senario ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malah turut terkesan di negara Indonesia dan Amerika Syarikat.
“Selain itu, turut berlaku peningkatan kos operasi dalam tempoh PKP kerana hasil yang sepatutnya mencapai saiz pasaran tidak dapat dipasarkan akibat kurangnya permintaan dari pengusaha perhotelan dan restoran yang turut terjejas dalam tempoh PKP ini, selain pengusaha terpaksa menanggung kos tambahan terutamanya kos makanan ternakan, buruh dan tenaga elektrik yang tinggi kerana terpaksa memanjangkan tempoh masa penjagaan ternakan mereka yang sepatutnya sudah boleh dipasarkan.
“Pengusaha makanan tambahan ternakan akuakultur terutamanya udang juga turut terjejas kerana permintaan terhadap produk mereka berkurangan akibat banyak pengusaha kolam-kolam ternakan udang telah menghentikan operasi penternakan mereka akibat kesukaran mendapatkan bekalan benih-benih dari hatceri pembekal, tatkala kebanyakan hatceri ikan dan udang juga turut menghentikan operasi pengeluaran benih, sebaliknya hanya menumpukan kepada kerja-kerja penjagaan induk dan penyelenggaraan serta pembersihan tangki dan kolam ternakan,” katanya.
Pengusaha mengalami kerugian lebih daripada 50 peratus
Dr. Sitti Raehanah menambah, ramai pengusaha juga mengalami kerugian teruk semasa tempoh PKP, kerana harga pasaran bagi ikan kerapu misalnya sebelum wabak COVID-19 adalah sekitar RM50 per kilogram tetapi harga tersebut jatuh menjunam kepada hanya RM25 per kilogram, dan pada masa yang sama pengusaha masih mengalami masalah untuk memasarkan hasil ternakan walaupun pada harga murah kerana kekurangan permintaan.
“Penjarakan sosial yang dilaksanakan dalam PKP juga turut menyebabkan kesukaran kepada para pengusaha akuakultur terutamanya bagi perusahaan sederhana dan berskala besar kerana terpaksa mengurangkan bilangan pekerja yang boleh bekerja pada satu-satu masa di samping mengehadkan waktu operasi daripada lapan jam kepada empat jam sahaja.
“Sungguhpun demikian, pengusaha masih membayar gaji pada kadar yang sama kepada semua pekerja. Hal ini memperlihatkan kejanggalan dalam pengurusan modal manusia apabila jumlah pekerja yang sama tidak dapat diimbangi oleh hasil pengeluaran yang menurun.
“Pengusaha juga terpaksa melakukan penyelenggaraan sendiri bagi peralatan-peralatan yang mengalami kerosakan kerana kesukaran mendapatkan juruteknik semasa tempoh PKP, selain penutupan atau tempoh terhad operasi bengkel dan kedai alat ganti juga menyukarkan pengusaha mendapatkan khidmat penyelenggaraan dan pembelian alat ganti,” kata Dr. Sitti Raehanah.
Bagi pengusaha berskala besar dan yang berstatus Good Aquaculture Practice, katanya kebanyakan mereka mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan ikan (pellet) kerana kebanyakannya adalah diimport dari luar negara, dan ini menyebabkan mereka terpaksa mengecilkan saiz operasi dan situasi ini menjejaskan hasil pengeluaran mereka.
“Keadaan sedikit berbeza bagi pengusaha kecil-kecilan ternakan ikan sangkar (ikan laut/payau) kerana bekalan ikan baja seperti ikan Selayang dan ikan Tamban yang digunakan sebagai makanan ikan ternakan boleh diperoleh pada harga rendah sekitar RM0.50 sekilogram semasa PKP, yang boleh diperoleh daripada nelayan-nelayan yang menjual terus hasil tangkapan mereka kepada penternak tanpa melalui orang tengah.
“Bagi tujuan eksport, walaupun kerajaan tidak menghalang sebarang aktiviti import dan eksport, namun para pengusaha masih menghadapi kesukaran untuk mengeksport hasil ternakan mereka terutamanya ke negara-negara pengimport terbesar seperti Singapura, Hong Kong dan China ekoran masalah pengangkutan dan juga kekurangan permintaan kerana negara-negara pengimport juga turut terjejas dengan pandemik COVID-19.
“Pengusaha akuakultur di Indonesia sebagai contoh mengalami kesukaran untuk mengeksport hasil ternakan mereka ke Malaysia kerana banyak syarikat penerbangan telah menghentikan sementara penerbangan mereka ke Malaysia,” katanya.
Penduduk tempatan mendapat manfaat
Walau bagaimanapun, menurut Dr. Sitti Raehanah, dari sudut lain, situasi ini memberikan manfaat kepada penduduk setempat kerana mereka bukan sahaja mendapat produk udang dan ikan segar dari ladang tetapi juga dapat membelinya dengan harga yang lebih murah berbanding melalui pemborong.
“Secara umumnya perusahaan akuakultur laut adalah yang sangat terkesan dengan PKP, namun sedikit berbeza bagi perusahaan akuakultur air tawar seperti keli dan tilapia kerana terdapat permintaan mendadak terhadap hasil ternakan air tawar semasa PKP terutamanya bagi pasaran setempat dan di kawasan pedalaman.
“Ini mungkin didorong oleh kesukaran bekalan ikan laut segar untuk sampai ke kawasan-kawasan terpencil kerana peraih-peraih ikan tidak lagi bebas bergerak,” ujar Dr. Sitti Raehanah.
Dr, Sitti Raehana turut menekankan betapa dua senario positif ketika pelaksanaan PKP iaitu peningkatan permintaan ikan air tawar dan pengurangan campur tangan orang tengah adalah peluang yang perlu dipandang serius.
“Justeru itu, RA-UMS ingin mengesyorkan kepada pihak berwajib agar dapat mewujudkan program “Satu Kampung Satu Ikan” terutamanya kampung-kampung yang terdapat di kawasan pedalaman bagi memenuhi keperluan gizi makanan yang seimbang di samping dapat meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.
“Akuakultur ikan air tawar di Sabah perlu diperkasakan bagi mengubah stigma masyarakat tempatan yang menganggap bahawa ikan air tawar tidak bernilai ekonomik dan kurang permintaan adalah tidak tepat,” jelas beliau.
Pengusaha Akuakultur mengharapkan kerajaan membenarkan sektor tersebut untuk beroperasi.
Menerusi sesi perbincangan itu juga katanya para peserta khususnya Rakan Akuakultur berharap agar kerajaan dapat memberikan kelonggaran kepada sektor-sektor pengeluaran makanan untuk kembali beroperasi dengan pelaksanaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, yang dilihat penting bagi menyelamatkan industri makanan negara, selain memastikan bekalan makanan mencukupi serta memastikan para pengusaha dan pekerja yang bergantung sepenuhnya ke atas industri tersebut dapat meneruskan kelangsungan hidup mereka.