KOTA KINABALU: Semua kes baru yang dicatatkan di Sabah hari ini merupakan kes import.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata 10 kes tersebut dikesan di Keningau (2), Lahad Datu (4), Semporna (3) dan Tawau (1).
“Daripada jumlah ini, dua (2) kes adalah pelajar, satu (1) kes merupakan seorang kanak-kanak dan selebihnya rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia.
“Siasatan ke atas kontak rapat masih giat dilaksanakan,” beliau berkata di satu kenyataan akhbar.
Kesemua kes baru ini dikategorikan sebagai kes import kerana mendapat jangkitan COVID-19 di luar negeri Sabah.
Daripada 10 kes baru ini, tujuh (7) sampel diambil di Pintu Masuk Antarabangsa Kota Kinabalu dan Tawau, manakala tiga (3) kes telah tiba melalui Lapangan Terbang Sandakan dan diminta untuk melakukan pengambilan sampel di destinasi akhir.
“Siasatan awal mendapati kesemua kes diberi Borang Annex 14 untuk menjalani Home Quarantine namun sebahagian besar telah mengingkari perintah ini.
“Ini menyebabkan bilangan kontak terdekat yang perlu disiasat bertambah”.
Setakat 10 Mei 2020, sejumlah 54,961 ujian telah dijalankan di Negeri Sabah. Ujian makmal yang telah dijalankan pada 10 Mei 2020 adalah sejumlah 2,852 dan terdapat 15 sampel positif.
Daripada jumlah sampel yang positif, 10 sampel adalah untuk kes baru, empat (4) adalah sampel ulangan dan satu (1) sampel positif untuk seorang rakyat Sabah yang disahkan negatif sebelum ini semasa beliau dirawat di Semenanjung Malaysia.
“Pihak JKNS juga ingin mengajak rakyat Sabah untuk belajar daripada kejadian peningkatan mendadak ini dan mengambil ikhtibar untuk sama-sama melaksanakan tanggungjawab mengawal penularan COVID-19 di negeri kita yang tercinta ini.
“Dalam menangani wabak ini, mungkin terdapat pendekatan yang tidak popular kerana kelihatan “menyusahkan” pelbagai pihak, namun strategi sedemikian perlu dilihat dari sudut kebaikan untuk semua”
Dr Christina juga mengingatkan bahawa Borang Pengisytiharan Kesihatan Kemasukan Ke Sabah perlu diisi dengan lengkap dan jujur dan jika didapati informasi yang diberikan salah atau tidak lengkap, tindakan boleh di ambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta
342).