KOTA KINABALU: Syarikat-syarikat dalam sektor perkilangan dan perindustrian di Sabah diminta untuk melantik penyelaras terlatih untuk memantau pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, lantikan itu boleh dibuat dalam kalangan pegawai syarikat-syarikat yang terlibat.
“Kita mahu pemantauan ini dibuat secara kerap bagi memastikan usaha pencegahan pandemik Covid-19 dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Memandangkan kekangan dalam pegawai penguatkuasa, lantikan pegawai penyelaras dalaman yang terlatih ini perlu agar tatacara operasi syarikat dan langkah-langkah pencegahan dalam kalangan setiap pekerja dapat dikuatkuasakan sepenuhnya,” kata beliau.
Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, pengoperasian syarikat-syarikat adalah penting untuk penjanaan ekonomi negeri dan memberi sumber pendapatan kepada para perkerja untuk menampung sara hidup keluarga.
Namun katanya, mereka yang gagal mematuhi SOP boleh dikenakan tindakan tegas termasuk membatalkan kebenaran untuk beroperasi.
“Antara SOP yang perlu dipatuhi ialah setiap syarikat perlu membuat pemeriksaan dan rekod suhu badan pekerja pada setiap hari selain mewajibkan mereka untuk memakai pelitup muka.
“Syarikat-syarikat juga diminta menyediakan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan pekerja serta mengadakan sanitasi dan diinfeksi premis atau kilang masing-masing secara kerap,” jelas Madius.
Ahli Parlimen P170 Tuaran itu turut memaklumkan agar kehadiran pekerja perlu dibuat secara bergilir-gilir.
“Mereka juga harus mengamalkan penjarakan sosial dan mengamalkan kebersihan diri yang tinggi.
“Sekiranya terdapat pekerja syarikat yang mempunyai kes positif Covid-19, operasi syarikat terbabit akan ditangguhkan serta merta,” katanya.
Info dan gambar dikeluarkan oleh Pejabat Akhbar MTI