PETRONAS melancarkan filem web beranimasi penuh pertamanya semalam berjudul “Antara Dua Jendela”, sempena menjelangnya sambutan Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi.
Tujuan di sebalik filem web ini adalah untuk memberi peringatan bahawa tiada yang bersendirian dalam menghadapi situasi terkini akibat pandemik COVID-19, di samping menyelami nilai-nilai kegembiraan yang sering terlepas dari perhatian.
Dengan mengekalkan tema perayaan PETRONAS tahun ini – “Keluarga Unik Kami”, filem web ini mengetengahkan hubungan sesama insan yang disantuni menerusi amalan kebaikan dan sikap saling bantu-membantu – yang merupakan aspek penting bagi setiap komuniti, terutama sekali di kala masyarakat dunia sedang menyesuaikan diri dengan cara hidup baharu.
Antara Dua Jendela- UDA dan Dara
Filem web “Antara Dua Jendela” berlatarbelakangkan kawasan desa yang permai, di mana dua buah rumah kampung bernama Uda dan Dara digambarkan saling mencintai.
Tetapi pemiliknya, Pak Tam dan Mak Teh, masing-masing mempunyai sikap yang bertentangan dan langsung tidak boleh bertemu mata.
Lantaran itu, hubungan kejiranan antara Pak Tam dan Mak Teh semakin mengeruh tahun demi tahun, terutama sekali apabila Hari Raya Aidil Fitri menjelma.
Ini memberi kesan kepada hubungan Uda dan Dara yang mulai tegang.

Namun begitu, segala-galanya berubah pada tahun ini dengan ketiadaan amalan balik kampung beramai-ramai dan adat kunjung-mengunjung sesama keluarga dan jiran tetangga akibat penularan COVID-19.
Situasi lebaran yang baharu ini telah mendorong Pak Tam dan Mak Teh untuk meraikan Hari Raya bersama-sama serta melupakan segala perbezaan antara mereka dan menyedari hikmah di sebalik cabaran pandemik.
Dengan ini, hubungan kasih sayang antara Uda dan Dara juga kembali bertaut.
Filem Petronas membawa kebahagian tatkala situasi mencabar.
Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Zahariah (Liza) Abdul Rahman berkata: “Aspirasi kami melalui “Antara Dua Jendela” adalah untuk membawa kebahagiaan kepada rakyat Malaysia tatkala berdepan dengan situasi yang mencabar ketika ini.
“Filem web ini mengingatkan bahawa kita sebenarnya tidak pernah bersendirian pada masa ini. Bahkan kita semua sedang mengharungi situasi yang sama.
Adalah penting untuk kita melihat di sekeliling kita dan menghargai mereka yang paling dekat dengan kita.
Kami berharap agar filem web ini dapat menjadi sumber motivasi untuk kita terus cekal dalam menempuhi segala cabaran serta mencari sinar kegembiraan dalam melayari kebiasaan baharu.”
Tambah Liza lagi, setelah hampir 46 tahun, keunikan masyarakat majmuk di Malaysia seringkali menjadi sumber inspirasi filem web perayaan PETRONAS.
Bukan itu sahaja, bagi Liza, solidariti yang menyatukan kita pada suasana yang sukar buat masa ini, adalah sifat keprihatinan dan keikhlasan dalam mengambil berat antara satu sama lain.
“Karya animasi penuh ini sebenarnya mengajak kita keluar dari kepompong kebiasaan.
Selain memberikan nafas baru dalam teknik penceritaan, filem web animasi Raya pada tahun ini juga telah mewujudkan peluang untuk pasukan kami berkolaborasi dengan bakat-bakat tempatan seperti pelukis, pelakon suara dan juga pemuzik.
Hasilnya, kami berjaya menyajikan “Antara Dua Jendela” biar pun kami perlu bekerja secara berasingan.
Bagi kami, kebiasaan baharu ini bukanlah penghalang. Malah ia menjadi pemangkin bagi penghasilan filem web perayaan kami,” kata Liza.
Filem web ini <a href="http://<iframe width="560" height="315" src="https://www.youtube.com/embed/m1k4xovsypQ" frameborder="0" allow="accelerometer; autoplay; encrypted-media; gyroscope; picture-in-picture" allowfullscreen>boleh ditonton di saluran YouTube dan laman Facebook rasmi PETRONAS.
Versi komersial berdurasi 90 saat akan ditayangkan di TV bermula 20 Mei hingga 14 Jun 2020.