KOTA KINABALU: Pitas mencatatkan kes pertama Covid-19 melibatkan seorang bayi.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Christina Rundi berkata bayi tersebut dikesan apabila dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) selepas mendapatkan rawatan di Pitas dan Kota Maduru.
“Kes didapati positif Covid-19 oleh HWKKS semasa ujian saringan pra-pembedahan ,”beliau berkata dalam satu kenyataan.
Manakala satu lagi kes positif untuk June 8 merupakan seorang lelaki dewasa di Kota Kinabalu yang dikesan melalui aktiviti bersasar dan pesakit tersebut elah dimasukkan ke wad Hospital Queen Elizabeth.
Kedua-dua kes ini dikategorikan sebagai jangkitan tempatan dan punca jangkitan masih dalam siasatan.
Setakat ini, Sabah telah merekodkan 355 kes dengan 12 orang masih dirawat di hospital-hospital.
Covid-19 masih menular dalam masyarakat
“Siasatan ke atas semua jangkitan setakat ini menunjukkan jangkitan Covid-19 masih menular dalam masyarakat.
“Hampir kesemua kes tempatan dikesan tidak menunjukkan sebarang gejala dan ini menyukarkan pengesanan kes kerana mereka tidak akan tampil ke klinik.”
Dr Christina juga menjelaskan pejabat kesihatan kawasan Kota Kinabalu sedang melaksanakan aktiviti bersasar di lokaliti terpilih untuk tuberculosis dan Covid-19.
“Aktiviti ini akan diteruskan di lokaliti terpilih yang lain dan mereka yang tinggal di kawasan berhampiran dinasihatkan untuk memanfaatkan kehadiran pasukan khas ini dengan memastikan mereka yang bergejala menjalani saringan yang disarankan.