Pasti ramai yang ingat ketika Parti Bersatu Sabah (PBS) yang memerintah negeri ini dari 1985 hingga 1994, keluar Barisan Nasional (BN) pada 1990, Sabah pertama kali menjadi pembangkang di peringkat Pusat.
Situasi itu hanya berubah semula selepas kerajaan PBS tumbang pada 1994 apabila sebahagian besar wakil rakyatnya melompat parti menyertai UMNO atau keluar menubuhkan parti baharu dan menyertai BN.
Shafie tetap menyokong Tun M.

Hari ini, situasi Sabah menjadi pembangkang di peringkat Pusat berlaku semula apabila WARISAN bersama sekutunya, UPKO dan Pakatan Harapan (PH) negeri menyatakan pendirian tidak menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan pada akhir Februari lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menjelaskan, kerajaan pimpinannya tetap dengan pendirian menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sejajar dengan apa yang disuarakan kepemimpinan PH ketika krisis pertukaran kerajaan Pusat empat bulan lalu.
PN yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), UMNO BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) selain PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Ada yang melihat kedudukan Sabah ketika ini bakal menyebabkan negeri ini terpinggir dalam segenap aspek kerana kerajaan negeri tidak lagi berada dalam kem sama dengan parti yang membentuk kerajaan Pusat.
Tidak kurang juga yang tertanya-tanya apa akan jadi dengan usaha menuntut hak Sabah, royalti minyak dan pengembalian status Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Adakah PN ikhlas memberikan tuntutan Sabah?
Adakah pemimpin kerajaan Pusat berasal dari Sabah seperti Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang kini berada dalam Kabinet persekutuan akan meneruskan usaha itu.
Jeffrey dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, manakala Maximus sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

Berdasarkan portfolio itu, jelas menunjukkan Dr Maximus diberikan tanggungjawab terhadap isu dan perkara yang berkaitan dengan Sabah dan Sarawak, termasuk yang berkaitan dengan MA63.
Namun, persoalannya adakah kerajaan PN benar-benar komited untuk memberikan apa yang dituntut oleh kerajaan negeri sedangkan berlaku perbezaan politik di antara kedua belah pihak.
Situasi itu, ditambah pelbagai spekulasi berhubung kemungkinan berlaku perubahan kerajaan negeri seperti berlaku di Johor, Melaka dan Kedah baru-baru ini, tentunya memberi tekanan kepada WARISAN dan sekutunya.
Spekulasi ramai wakil rakyat akan sokong PN?
Khabar angin yang mengatakan ada wakil rakyat dalam kerajaan negeri mungkin melompat dan menyokong PN bagi membentuk kerajaan baharu di peringkat negeri pasti merisaukan pimpinan negeri.
Lebih membimbangkan apabila spekulasi itu sudah mula menunjukkan kebenaran selepas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UPKO, Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk James Ratib (Sugut) keluar parti untuk menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong PN.
Dikhabarkan, ada beberapa lagi wakil rakyat mewakili kerajaan negeri ketika ini bakal mengikut jejak mereka dan difahamkan juga ‘proses’ memujuk YB kerajaan negeri masih berterusan.
Khabar angin dan kes SPRM cetus kekacauan politik
Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada kerajaan pimpinan WARISAN bakal berakhir dalam masa terdekat memandangkan parti itu bersama sekutunya masih menguasai lebih separuh kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Setakat 15 Jun 2020, kerajaan negeri pimpinan WARISAN memiliki 46 kerusi termasuk lima ADUN Dilantik, manakala 19 kerusi di pihak pembangkang yang diwakili UMNO (satu), BERSATU (sembilan), PBS (empat), STAR (tiga) dan Bebas pro PN (dua).
Spekulasi mengenai beberapa Ahli Parlimen WARISAN mahu melompat untuk menyokong PN juga tersebar baru-baru ini, namun ia disangkal oleh parti berkenaan yang ketika ini mempunyai sembilan Ahli Parlimen termasuk Labuan.
Memang lumrah politik, pelbagai spekulasi ditimbulkan untuk menarik perhatian umum dan kekacauan politik yang jika tidak terkawal atau gagal ditangani dengan bijak boleh menjadi kenyataan seperti yang dispekulasikan itu.
WARISAN menganggap spekulasi berkenaan sebagai serangan politik untuk melemahkan kerajaan negeri pimpinannya berikutan pendiriannya yang tidak menyokong PN.
Malah, tindakan yang membabitkan pemimpin parti itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti dalam kes Datuk Peter Anthony turut dilihat bermotif politik kerana dibuat selepas PN berkuasa.
Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrasturktur Sabah didakwa atas lima pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram bernilai RM8.75 juta yang berlaku antara 2014 hingga 2015.
Apa yang jelas ketika ini situasi politik Sabah kembali seperti era kerajaan PBS ketika di luar BN kira-kira tiga dekad yang lalu.
Percanggahan pelaksanaan dasar antara negeri dan persekutuan.
Selain tekanan politik terhadap kerajaan negeri, kita juga sudah mula melihat majlis anjuran agensi kerajaan Pusat hanya dihadiri pemimpin persekutuan, manakala majlis anjuran kerajaan negeri hanya dihadiri pemimpin negeri.
Malah, ada dasar yang dilaksanakan kerajaan Pusat tidak dituruti oleh kerajaan negeri apabila dasar berbeza diwujudkan kerajaan negeri untuk dilaksanakan di negeri ini.
Pemimpin Pusat berbalah dengan pemimpin negeri mengenai isu tertentu juga mula kelihatan, masing-masing bersandarkan kuasa atau kedudukan sebagai pemimpin dalam kerajaan persekutuan dan negeri.
Selepas ini, pasti banyak lagi perbezaan dasar, tindakan dan pendapat bakal berlaku di antara kerajaan negeri dan Pusat berikutan perbezaan politik di kedua-dua belah pihak.
Sabah DUN pertama kali memiliki wakil kabinet persekutuan.
Buat pertama kali juga persidangan DUN Sabah kini memiliki seorang wakil Kabinet kerajaan Pusat berikutan pelantikan Jeffrey selaku Ahli Parlimen Keningau yang juga ADUN Tambunan mewakili STAR, sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.
Jeffrey duduk di kerusi pembangkang bersama ADUN daripada BERSATU, PBS dan UMNO dalam DUN, manakala duduk sebaris dengan jemaah kerajaan PN di Dewan Rakyat.
Beliau dan Maximus adalah antara enam Ahli Parlimen dari Sabah yang dilantik sebagai Timbalan Menteri (empat orang) dan Menteri (dua orang) dalam Kabinet PN pimpinan Muhyiddin.
Selain Maximus yang juga Presiden PBS, seorang lagi menteri dari Sabah dalam kerajaan PN ialah Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Menteri Pertanian dan Industri Makanan).
Tiga lagi Timbalan Menteri ialah Ahli Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ekonomi); Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin (Timbalan Menteri Dalam Negeri) dan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri (Timbalan Menteri Kewangan).
Ketika PH memerintah dari Mei 2018 hingga akhir Februari lalu, Sabah mempunyai tiga menteri dan dua timbalan menteri, semuanya mewakili WARISAN.
Perbezaan politik akan menjadi lumrah.
Perbezaan politik pemimpin Pusat di Sabah dengan kerajaan negeri, mungkin kelihatan janggal, namun keadaan itu akan menjadi perkara biasa secara beransur-ansur jika situasi politik sekarang kekal hingga PRU akan datang.