BELURAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib sebenarnya mengintai peluang projek yang lebih besar bernilai ratusan juta ringgit daripada Kerajaan Persekutuan menyebabkan beliau sanggup mengkhianati mandat rakyat.
Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) Beluran, Aslan Awang Damit berkata, selama dua tahun James bersama UPKO dan menyokong Warisan, kerajaan negeri tidak pernah berhenti menyalurkan pelbagai bantuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut.
Bagaimanapun katanya, jumlah peruntukan itu tidak pernah cukup untuk James kerana beliau pernah menikmati peruntukan yang lebih tinggi semasa bersama UMNO menyebabkan maruahnya mudah dibeli dengan tawaran lumayan daripada Perikatan Nasional (PN).
“Kita sedia maklum selama hampir dua tahun lebih bersama dengan kerajaan negeri banyak bantuan yang telah disalurkan kepadanya sebagai wakil rakyat DUN Sugut sebelum ini seperti peruntukan DUN, Sentuhan Kasih dan saya difahamkan banyak peruntukan akan diluluskan oleh kerajaan negeri untuk pembangunan dan kesejahteraan kawasan Sugut.
“Tetapi beliau tidak mampu menahan godaan, tawaran yang lumayan daripada Kerajaan Persekutuan kerana selama ini UMNO memberikan kekayaan kepadanya menyebabkan perasaan nikmat itu tidak boleh dilupakan sehingga sanggup mengkhianati rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aslan berkata, jika James seorang pemimpin yang berpendirian dan berintegriti, beliau tidak akan meninggalkan parti yang telah membantunya selama dua tahun ini, namun terbukti beliau sama sahaja dengan pemimpin lain yang tiada perjuangan.
Katanya, alasan kononnya Warisan gagal membawa perubahan di Sugut adalah dongeng semata-mata kerana sejak James menjadi wakil rakyat di situ pada 2013, tiada pembangunan sebenar dibawa olehnya yang mampu meningkatkan kebajikan rakyat kawasannya.
“Jangan gunakan alasan tiada pembangunan dibawa oleh Warisan di Sugut jika beliau sendiri gagal melakukannya semasa bersama UMNO, sebaliknya James kelihatan semakin kaya manakala rakyat pula terus dihimpit kemiskinan.
“Pemimpin yang kaya akan terus mengecapi kekayaan tetapi mereka cuba menyembunyikan kekayaan itu dengan memberi alasan berjuang demi rakyat,” tegasnya.
Tambah Aslan, rakyat Sugut terutama golongan muda semakin hilang kepercayaan terhadap James, walaupun dua tahun lalu, mereka menyokong sepenuhnya langkah beliau menyertai UPKO untuk bersama kerajaan negeri.
“Kami sedar pemimpin seperti ini tidak layak memimpin, mereka hanya mengejar kekayaan sendiri sedangkan rakyat yang selama ini berjuang tidak langsung dipedulikan.
“Sebagai ketua Wira Beluran, saya akan membawa seluruh suara anak muda untuk bangkit menentang mana-mana pemimpin di Sabah yang tidak mempunyai pendirian dan keteguhan berpolitik.
“Percayalah kepada semua suara anak-anak muda khususnya di Sugut, saya sebagai ketua Wira dan seluruh pemimpin masyarakat anak muda Beluran akan sentiasa berdiri di belakang Ketua Menteri Sabah dan Warisan sebagai barisan muda kerajaan negeri dalam memperjuangkan orang Sabah dan parti Sabahan,” katanya.
Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Wira Parti Warisan Sabah Beluran, Aslan Awang Damit – 17 Jun 2020