KOTA KINABALU, 17 Jun 2020: Kerajaan Negeri, hari ini, memutuskan untuk membenarkan pengoperasian aktiviti panggung wayang dan perkhidmatan kecantikan serta kesihatan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perniagaan lain yang dibenarkan adalah solekan dan rawatan rambut serta dandanan rambut.
Katanya, operasi lain yang dibenarkan termasuk perkhidmatan manicure dan pedicure, rawatan muka, khidmat cukur jambang dan misai.
“Kerajaan negeri turut membenarkan perkhidmatan refleksologi dan aktiviti rumah urut bermula hari ini.
“Namun waktu operasi perniagaan hendaklah dijalankan seperti biasa tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pihak Berkuasa Tempatan dan Pihak Yang Berwajib.,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Shafie berkata, Kerajaan Negeri bagaimanapun, mengingatkan rakyat di negeri ini untuk terus mengamalkan penjarakan sosial, memakai penutup muka dan menggunakan hand sanitizer dalam semua urusan dan aktiviti yang dibenarkan.
Katanya, ia bagi memastikan keselamatan diri, keluarga dan komuniti bagi membendung penularan COVID-19.