Penguatkuasa dan pemeriksaan kedai perkhidmatan gunting rambut

By: Nerissa Xie

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, mengeluarkan 37 notis pengesahan maklumat barang dan 35 notis bertulis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP).

Semua notis berkenaan dikeluarkan sepanjang operasi pemeriksaan yang dijalankan bermula 10 Jun lalu membabitkan 68 premis perkhidmatan gunting rambut lelaki, gunting rambut wanita, gunting rambut kanak-kanak dan cuci rambut.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, operasi pemeriksaan itu dijalankan berikutan keputusan kerajaan membenarkan perkhidmatan gunting dan pendandan rambut beroperasi semula.

Katanya, operasi juga bagi memastikan semua premis berkenaan tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan seperti pemakaian penutup muka dan apron pakai buang oleh pekerja, pemakaian apron pakai buang bagi setiap pelanggan dan jarak sekurang-kurangnya dua meter antara kerusi tukang gunting.

“Selain itu, pengusaha juga perlu menyediakan apron pakai buang yang berbeza untuk setiap pelanggan dan tidak boleh menggunakan tuala yang dikongsi.

“Dalam operasi sama KPDNHEP turut melaksanakan Operasi Catut 7.0 pemeriksaan kedai gunting dan pendandan rambut bagi memberi tumpuan kepada ketidakpatuhan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh agensi ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Pemeriksaan bagi memastikan semua premis berkenaan menuruti keperluan SOP ditetapkan.

Georgie berkata, antara yang cuba dikesan adalah perbuatan mencatut atau mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Selain itu katanya, operasi turut memantau Penandaan harga mengikut Perintah Kawalan Harga iaitu Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit 1993.

“Operasi turut memantau petunjuk atau gambaran yang mengelirukan mengenai harga mengikut Seksyen 14 Akta Perihal Dagangan 2011 dan Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Ia bagi mengesan peniaga yang sengaja menaikkan harga tanpa alasan munasabah dengan niat untuk membuat keuntungan tinggi yang berlebihan,” katanya.

Georgie berkata, peniaga akan diberikan Notis Amaran di mana peniaga perlu serta merta menurunkan caj perkhidmatan dalam tempoh lima (5) hari bekerja.

Katanya, kegagalan mematuhi arahan dalam Notis untuk mengemukakan justifikasi dan penjelasan serta maklumat atau dokumen tertentu mengikut tempoh masa ditetapkan adalah menjadi satu kesalahan.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut AKHAP 2011 dan boleh didenda sehingga RM500,000.00,” tegasnya.

Sementara itu, Georgie berkata, sejajar dengan kos tambahan yang terpaksa ditanggung oleh pekedai membabitkan penggunaan pemakaian apron dan sarung tangan pakai buang, hanya kos barangan yang terlibat saja yang boleh dicaj selain daripada kos asal upah gunting.

Di samping itu katanya, premis-premis gunting rambut dan kecantikan juga wajib mempamerkan senarai harga setiap barangan tambahan serta caj servis pemotongan rambut.

“Dengan adanya senarai harga ini, pelanggan dapat menyemak harga lebih awal dan mengelakkan kekeliruan.

“Di pihak pengguna pula, mereka boleh membuat aduan kepada KPDNHEP terhadap mana-mana kedai gunting dan pendandan rambut  yang mengenakan caj berlebihan yang tidak munasabah,” katanya.

Georgie berkata, sebarang aduan boleh disalurkan menerusi Portal e-aduan@kpdnhep.gov.my atau menghubungi talian 1800 886 800 atau Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my.

Tamat

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.