KOTA KINABALU, 19 Jun 2020: Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi menuntut bayaran balik daripada bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.
Tuntutan yang dibuat pada 16 Jun lalu itu membabitkan wang berjumlah RM872 juta yang dipercayai hilang disebabkan perjanjian aktiviti pembalakan meragukan.
Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd. Zakaria berkata, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah mempunyai sebab kukuh bagi mempercayai Tan Sri Musa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan anak syarikat Yayasan Sabah, iaitu Rakyat Berjaya Sdn Bhd bagi tujuan pembalakan.
“Dalam tuntutan mahkamah itu, kami turut menamakan beberapa penerima dan transaksi wang membabitkan akaun luar pesisir.
“Tuntutan ini dibuat melalui proses perundangan,” katanya pada sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.
Jamalul Kiram berkata, Yayasan Sabah adalah pemegang konsesi pembalakan terbesar di Sabah ditubuhkan pada tahun 1966 untuk menjaga kebajikan, sosioekonomi rakyat Sabah serta membantu pembangunan pendidikan di negeri ini.
“Musa gagal melaksanakan tanggungjawab ‘fiduciary’ untuk memelihara kepentingan Yayasan Sabah dalam peranannya sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah yang ditubuhkan untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat Sabah,” katanya dalam sidang akhbar pagi ini.
Berdasarkan writ saman berkenaan, berikut adalah 11 tuntutan Yayasan Sabah terhadap Tan Sri Musa Aman:
a) membayar balik US$42 juta (RM178,920,000) wang milik Yayasan Sabah yang diberikan kepada UMNO Sabah
b) membayar balik US$90 juta (RM383,400,000) wang milik Yayasan Sabah yang hilang ketika pemerintahan Musa
c) membayar balik US$8.9 juta (RM37,914,000) wang milik Yayasan Sabah yang hilang ketika Musa mentadbir
d) membayar balik US$2 juta (RM8,520,000) wang milik Yayasan Sabah yang hilang disebabkan tindakan Musa melakukan pecah amanah
e) membayar balik RM263,460,962.30 wang milik plaintif yang hilang dan perlu dipertanggungjawabkan kepada Musa
f) membayar balik AUD17,258.85 (RM51,258.79) milik Yayasan Sabah yang dipindahkan oleh Musa kepada dua orang anak lelakinya
g) atas budi bicara mahkamah mengenakan faedah lima peratus setahun bagi semua tuntutan itu bermula dari tarikh kesalahan berlaku sehingga tarikh perbicaraan.
h) faedah berkanun lima peratus setahun bermula dari tarikh perbicaraan sehingga tarikh bayaran penuh tuntutan
i) semua tuntutan yang yang difikirkan bersesuaian oleh mahkamah
j) tuntutan-tuntutan lain
k) membayar kos mahkamah