KOTA KINABALU, 22 Jun 2020: Seorang aktivis yang pernah menerima ancaman bunuh kini berdepan satu lagi perbuatan khianat apabila pejabatnya di Taman Iramanis, di sini, disimbah cat, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, aktivis yang memperjuangkan hak Orang Asal Sabah (OAS), disimbah cat kuning dan insiden itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang diletakan di hadapan premis berkenaan.
Aktivis terbabit, Datuk Verdon Bahanda berkata, kejadian itu dipercayai mempunyao hubung kait dengan ugutan bunuh dan kecaman yang diterima ekoran kelantangannya di media sosial sejak kebelakangan ini.
Katanya, beliau percaya ia dilakukan oleh ‘orang upahan’ atau pengikut-pengikut taksub pihak yang melindungi Pendatang Tanpa Izin (PTI).
“Saya tidak mempunyai musuh dalam perniagaan tetapi saya percaya ini ada kaitan dengan gerakan OAS yang saya lakukan secara besar-besaran kebelakangan ini.
“Apa yang pasti, semua gerakan OAS yang memperjuangan hak rakyat Sabah itu menimbulkan masalah bagi mereka yang melindungi PTI,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan selepas membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan, hari ini.

Verdon berkata, ugutan bermula dengan ugutan ‘Verdon Halal di bunuh’ dengan gambar sepucuk pistol dan magazin peluru di FB dan kemudiannya timbul pula pelbagai kecaman di media sosial.
“Kini simbahan cat di bangunan perniagaan saya, ini menunjukkan bahawa segala pergerakan yang pernah dilakukan sudah mencapai matlamat sasar sehingga memaksa pelindung pihak PTI ini mula menampakkan diri dengan melakukan apa saja yang boleh memuaskan hati mereka,” katanya.