SIPITANG, 22 Jun 2020: Sepasang suami isteri yang memiliki 5.92 gram syabu ditahan polis dalam serbuan di rumah mereka di Kampung Batu 7, Pantai Luagan, Sindumin, di sini, Rabu lalu.
Dalam operasi jam 1.50 petang itu, pasangan berkenaan mengaku memiliki dadah bernilai RM400 berdasarkan harga pasaran semasa itu untuk kegunaan mereka sendiri.
Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya menahan pasangan tempatan berusia 40-an.
Katanya, hasil pemeriksaan di dalam beg galas yang disimpan di dalam bilik tidur pasangan terbabit membawa kepada penemuan tiga keratan plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu.
“Hasil ujian saringan awal mendapati pasangan terbabit positif dadah jenis Metaphetamine dan Amphetamine.
“Selain itu, lelaki terbabit mempunyai turut rekod lampau mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (2 kes) dan Sek. 15(1)(a) akta sama,” katanya dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan, hari ini.
Champin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.
Katanya, pasangan berkenaan juga sudah dituduh di mahkamah hari ini dan berdepan hukuman dua tahun penjara.