KETIKA Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada Januari lalu, Pas Sementara Sabah (PSS) dijadikan modal kempen Barisan Nasional (BN) untuk menentang cubaan Parti Warisan Sabah (WARISAN) merampas kerusi berkenaan.
Pada masa itu PSS yang dicadang diberi kepada warga asing memegang dokumen IMM13, Burung-Burung dan Sijil Banci didakwa dijadikan alat oleh kerajaan WARISAN untuk memberi kewarganegaraan kepada warga asing di Sabah.
Cadangan PSS diumumkan pada September 2019 dalam satu sidang media oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (sekarang Perdana Menteri) dan ia dijadual dilaksanakan mulai Jun tahun ini.

PSS dibantah banyak pihak khususnya pemimpin parti pembangkang di Sabah, namun kerajaan negeri tetap mahu meneruskannya sebagai langkah baharu bagi menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.
Isu itu cukup panas dan berjaya membuatkan pengundi Kimanis marah kepada kerajaan WARISAN hingga menyebabkan calonnya gagal dan akhirnya cadangan untuk melaksanakan PSS dibatalkan oleh kerajaan negeri sejurus selepas PRK berkenaan.
Itu kisah ketika kerajaan persekutuan masih diperintah Pakatan Harapan (PH) yang mana beberapa pemimpin WARISAN juga adalah sebahagian daripada Kabinetnya di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hari ini, selepas kira-kira lima bulan PSS dibatalkan, kerajaan persekutuan yang kini diperintah kerajaan baharu Perikatan Nasional (BN) tampil pula dengan cadangan untuk hanya mengekalkan dokumen IMM13 kepada warga Filipina di Sabah.
Ia seperti diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, baru-baru ini ketika mengulas mengenai langkah kerajaan Pusat bagi menangani isu warga asing dan PATI di negeri ini.
Cadangan itu, katanya bakal menjadikan IMM13 sebagai dokumen tunggal kepada warga asing dari Filipina di Sabah secara berperingkat.
Ketika ini, selain dokumen IMM13 yang dikeluarkan Jabatan Imigresen, warga Filipina berstatus PATI di Sabah juga ada yang memegang kad Burung-Burung dan Sijil Banci, masing-masing dikeluarkan kerajaan negeri era BERJAYA dan Pasukan Petugas Khas Persekutuan (PPKP) antara 1980-an hingga 1990-an.

Hamzah berkata, dianggarkan seramai 136,000 warga Filipina di negeri ini memegang ketiga-tiga dokumen itu.
Jika cadangan PSS menyebabkan WARISAN dikecam, kini giliran pemimpin WARISAN dan rakan sekutunya pula menghentam pemimpin PN di Sabah yang menyokong cadangan disuarakan Hamzah.
Cadangan itu didakwa tidak masuk akal kerana IMM13 hanya untuk pelarian perang warga Filipina yang melarikan diri ke Sabah ketika berlaku kekacauan di selatan negara itu pada 1970-an.
Isu PATI yang reda sekejap selepas Mohd Shafie mengumumkan pembatalan PSS pada Januari lalu, kini kembali panas.

Bagi pemimpin pro PN di Sabah, termasuk Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, tidak menghairankan jika mereka menyokong cadangan itu.
Sebagai antara pemimpin dalam Kabinet persekutuan, Jeffrey yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan sudah tentu tidak mahu dilihat tidak sebulu dengan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.
STAR turut tampil menjelaskan kenapa ia menyokong cadangan dikemukakan Hamzah, antaranya menekankan bahawa langkah itu (hanya mengekalkan dokumen IMM13) tidak memberikan taraf kewarganegaraan kepada pemegangnya.
Ia dikatakan berbeza dengan PSS yang sebelum ini didakwa bertujuan memberi taraf kewarganegaraan kepada warga asing di Sabah walaupun perkara berkenaan disangkal pimpinan WARISAN.
Jeffrey sebelum ini banyak bersuara mengenai isu PATI dan antara yang menentang pelaksanaan PSS selepas pendekatan itu diumumkan pada September lalu.
Parti Bersatu Sabah (PBS) yang bersuara mengenai isu PATI sejak penubuhan parti itu lebih 30 tahun lalu turut menyambut baik pendekatan dicadangkan Hamzah dan menyifatkan gesaan parti itu akhirnya didengari.

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), berkata pihaknya percaya langkah itu dapat mengatasi isu yang sudah lama berlarutan itu.
Beliau berkata, pihaknya turut menyerahkan memorandum berkaitan cadangan PBS untuk diambil kira Kementerian Dalam Negeri dalam mengatasi isu PATI di Sabah.
Sememangnya isu PATI di Sabah tidak pernah selesai sejak lebih 40 tahun lalu walaupun pelbagai usaha dan pendekatan dilaksanakan sama ada oleh kerajaan negeri atau Pusat sebelum ini.
Selain dari Filipina, Sabah juga dibanjiri warga asing dari Indonesia dan Pakistan.
Walaupun statistik Majlis Keselamatan Negara (MKN) menunjukkan ribuan PATI khususnya dari Filipina dan Indonesia yang ditangkap di negeri ini dihantar pulang setiap tahun, hakikatnya jumlah golongan itu di negeri ini masih ramai.
Malah, ada pihak menganggarkan jumlah mereka hampir sejuta orang berikutan ramai yang sudah beranak-pinak kerana sudah begitu lama menetap di negeri ini, selain masih ramai yang dapat membolosi sempadan perairan negara tanpa ditahan.

Ada juga mempersoalkan kenapa warga Filipina memegang dokumen IMM13 masih dibiarkan tinggal dan bekerja di negeri ini walaupun perang saudara di selatan negara itu sudah lama tamat.
Begitu juga mereka yang memegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci, kenapa terus dibenarkan tinggal di negeri ini sedangkan ia bukan dokumen rasmi Imigresen.
Tidak keterlaluan jika dikatakan isu PATI di Sabah termasuk tiga golongan ‘berdokumen’ itu sebenarnya sudah menjadi bahan politik dan perbalahan berbanding isu pentadbiran, keselamatan dan kepentingan rakyat Sabah.
Parti politik sering menjadikannya sebagai bahan kempen untuk menarik sokongan rakyat sama ada dengan mendedahkan kegagalan parti lawan menyelesaikan isu itu atau menjaja pendekatan baharu yang didakwa berkesan menanganinya.
Sentimen rakyat tempatan di negeri ini yang sensitif dengan isu PATI dan kebimbangan mengenai populasi mereka yang semakin ramai terutama di sektor perladangan, pembinaan dan perniagaan dimanfaatkan parti politik untuk kepentingan masing-masing.

Setiap kali menjelang pilihan raya umum (PRU), pasti ada manifesto berkaitan usaha menangani isu PATI dikemukakan parti bertanding, namun belum tentu perkara itu dapat dilaksanakan walaupun selepas berjaya menjadi kerajaan.
Tuduh-menuduh mengenai dakwaan niat buruk parti lawan apabila tampil dengan cadangan baharu seperti dalam isu PSS, selain ungkit-mengungkit pencapaian kerajaan terdahulu dalam menangani isu PATI menambahkan lagi kekalutan sedia ada.
Apa yang pasti, ketika parti dan pemimpin politik di negeri ini terus berbalah mengenai isu PATI, setidak-tidaknya ia ‘melegakan’ golongan itu kerana masih berpeluang terus tinggal dan bekerja di negeri ini walaupun tanpa dokumen sah.
Semakin panjang perbalahan mengenai isu PATI maka semakin lama lagi penyelesaian dapat diambil hingga memberi peluang kepada golongan itu terus beranak-pinak di negeri ini seperti yang berlaku selama 40 tahun yang lalu.
Walaupun tidak dinafikan pasukan keselamatan dan Imigresen tidak pernah duduk diam dalam usaha mengesan dan menangkap PATI yang bersembunyi di negeri ini, langkah penyelesaian jangka panjang tetap perlu diwujudkan.
Ia bagi menyelesaikan isu IMM13, kad Burung-Burung dan Sijil Banci selain memastikan hanya warga asing yang masuk secara sah dan memiliki dokumen perjalanan ada di negeri ini.
Rakyat Sabah tentunya bukan anti orang asing, namun kehadiran mereka yang tidak terkawal tanpa dokumen yang sah, lebih-lebih lagi menjadi punca masalah sosial seperti jenayah, pengedaran dan penagihan dadah selain kehadiran kanak-kanak jalanan sudah cukup membimbangkan.
Lebih parah apabila golongan itu turut dikaitkan dengan kegiatan pengganas dan jenayah rentas sempadan termasuk kes penculikan di pantai timur Sabah dengan menjadi dalang menyalurkan maklumat kepada kumpulan penjenayah luar.