KOTA BELUD, 23 Jun 2020: Tiga maut manakala seorang lagi parah dalam kejadian kemalangan membabitkan lori pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terbabas di Jalan Ranau – Tamparuli, kira-kira jam jam 1 petang tadi.
Difahamkan, semua anggota TLDM dari Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) Sandakan itu sedang dalam perjalanan ke Kota Kinabalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.03 petang dan mengerahkan seramai lapan anggota dan pegawai ke lokasi kejadian.
Katanya, sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) serta pacuan empat roda bergerak ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 28 kilometer dari BBP Ranau untuk membantu operasi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, operasi segera dimulakan dengan bertindak mengalihkan mangsa dari kenderaan kemalangan.
“Maklumat awal hanya terdapat empat orang mangsa yang terlibat dalam kemalangan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera parah sudah dihantar ke Hospital Ranau menggunakan EMRS Bomba manakala tiga lagi mangsa diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya.