PENAMPANG, 23 Jun 2020: Tiga rumah setinggan di Kampung Dumpil, Putatan, di sini, musnah dalam kejadian kebakaran malam tadi.
Dalam kejadian jam 11.15 malam itu, tiga rumah yang berkeluasan keseluruhan 1,337 meter persegi berkenaan gagal diselamat dan musnah 100 peratus.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.21 malam daripada orang awam menerusi talian MERS 999.
Katanya, sepasukan 26 anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Benny Lim dikerah ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 11 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu.
“Kekuatan keseluruhan logistik yang dikerah ke lokasi kejadian adalah dua jentera kecemasan Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera kecemasan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
“Turut dikerah ke lokasi kejadian adalah sebuah kenderaan Rapid Rescues Vehicle (RRV) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda pelbagai guna untuk membantu operasi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pada awal operasi, pasukan bomba mengalami kesukaran ke lokasi kejadian disebabkan laluan yang sempit.
Bagaimanapun katanya, kebakaran dapat dikawal pada jam 11.45 malam sebelum tamat sepenuhnya pada jam 12.30 tengah malam selepas tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan semula dikesan.
“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta anggaran kerugian juga masih dalam siasatan,” katanya.