KOTA KINABALU, 26 Jun 2020: Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah menghantar pulang seramai 133 migran ke Indonesia, hari ini.
Proses pengusiran ini dilakukan melalui jalan laut dari pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia.
Pada 24 Jun, MKN Sabah telah menghantar pulang seramai 134 orang pendatang tanpa izin (PATI). Pengusiran ini juga melibatkan PATI Filipina.
Pengarah MKN Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yussof merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan Indonesia dan Filipina atas kerjasama dalam setiap siri pengurisan yang dilaksanakan.
Beliau berkata pengusiran tahanan PATI Filipina akan dilaksanakan lagi dalam masa terdekat.

Berdasarkan kenyataan MKN Sabah, seramai 3,936 orang telah diusir keluar dari Sabah setakat tahun ini kerana melanggar peraturan imigresen.
Mereka ini termasuk PATI warganegara India, China, Pakistan, dan Vietnam yang dihantar balik melalui penerbangan yang diurus oleh Jabatan Imigresen, Negeri Sabah.
Dari tahun 1990 sehingga kini, Sabah telah melakukan pengusiran seramai 595,193 orang.
Dalam proses pengusiran sepanjang tempoh wabak coronavirus, kesemua migran dikehendaki menjalani saringan Covid-19 terdahulu sebelum diusir.
