KOTA KINABALU, 26 Jun 2020: Kesungguhan pihak penguatkuasa Jabatan Hidupan Liar Sabah memburu penjual telur penyu berjaya membawa kepada penangkapan seorang lelaki tempatan dalam satu operasi khas di kawasan Putatan, hari ini.
Suspek yang berusia 21 tahun itu merupakan individu yang dicari oleh Jabatan Hidupan Liar kerana aktif memasarkan telur penyu dalam laman sosial Facebook miliknya.
Pihak penguatkuasa menahan suspek di kawasan lot pakir kereta berhampiran Survey Hypermarket Putatan, sekitar jam 11 pagi.
Pemeriksaan turut dilakukan ke atas sebuah kenderaan, dimana pihak penguatkuasa menemui dua kontena makanan yang masing-masing berisi 10 biji telur penyu.


Adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana individu yang menyimpan atau memiliki haiwan atau hasil haiwan tersebut, termasuklah telur penyu, tanpa kebenaran yang sah dari Jabatan Hidupan Liar Sabah.
Jika disabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum dengan denda diantara RM50,000 hingga RM250,000; dan penjara bagi tempoh antara satu hingga lima tahun.