KOTA KINABALU, 27 Jun 2020: Empat daerah diisyitiharkan mengalami wabak kolera bermula sejak 29 Mei sehingga 25 Jun.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata daerah-daerah tersebut adalah Kota Kinabalu (10 kes), Putatan (2kes), Semporna (1 kes) dan Tuaran (1 kes).
Seramai 13 orang iaitu 93 peratus daripada jumlah kes adalah warganegara Malaysia.
“Pesakit yang paling muda merupakan bayi berumur 1 tahun dan yang paling tua, wanita berusia 80 tahun.
“Sekitar 45 per atus daripada jumlah kes berumur di antara 7 hingga 18 tahun,” beliau berkata di satu kenyataan media.
Penyakit kolera disebabkan oleh bakteria Vibrio cholera dan merupakan antara penyakit bawaan makanan dan air yang utama di negeri Sabah,
Antara faktor risiko yang telah dikenalpasti menyebabkan jangkitan adalah tabiat makan makanan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna serta mencuci makanan dengan air yang tidak terawat.
“Pesakit boleh mengalami gejala seawal beberapa jam sehingga 5 hari selepas memakan makanan dan minuman yang tercemar oleh bakteria ini.
“Antara gejala penyakit adalah cirit birit cecair (dehidrasi) dan sekiranya tidak dirawat boleh mengakibatkan kematian terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan bayi.”
Dr Christina juga berkata penyakit tersebut mudah merebak di kawasan yang tidak mempunyai bekalan air bersih, tiada kemudahan tandas yang sempurna dan persekitaran yang tidak bersih.
