KOTA KINABALU, 27 Jun 2020: Tular rakaman video, dimana Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan sokongan beliau terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai pilihan Pakatan Harapan (PH) Plus untuk Perdana Menteri.
Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika berucap di sebuah majlis tertutup yang dipercayai dihadiri ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia, pada 26 Jun.
Dalam rakam video tersebut, Dr Mahathir berkata beliau akan berkempen untuk Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu and menyeru akar umbi agar turut melontarkan sokongan mereka kepada Shafie.
“Saya akan terangkan kenapa kita pilih Shafie. Saya harap kita semua faham walaupun saya tidak dicalon, orang ini sebulu dengan saya dan sebulu dengan kita semua.
“Dia menolak kleptokrat, oleh itu kita perlu menyokong Shafie. Bagi saya,itu sama dengan sokong saya. Saya akan sokong Shafie,” katanya.

Dalam megulas kenyataan ahli parlimen Langkawi itu, ketua penerangan Warisan Datuk Dr Yusof Yacob bersetuju dengan cadangan tersebut kerana sudah tiba masa pemimpin Malaysia Timur diberi peluang menerajui negara.
“Suara ini bukan dari Tun M seorang sahaja tapi ramai pemimpin-pemimpin Semenanjung. Rasanya rakyat sudah bosan dengan kemelut politik Semenanjung dan Malaysia.
“Rakyat dan pemimpin memikirkan sudah sampai masanya orang Malaysia Timur menjadi perdana menteri untuk halatuju baru negara,” katanya.
Menurut Dr Yusof, Sabah dan Sarawak telah banyak membantu membangunkan negara melalui hasil minyak dan gas dari kedua-dua negeri ini.
Beliau juga berkata Shafie mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran negara dan berpengalaman di pentas politik antarabangsa serta telah beberapa kali mengetuai delegasi negara untuk rundingan-rundingan dua hala.
Walaubagaimanapun, cadangan Dr Mahathir ini tidak diterima secara positif oleh pihak lawan.
Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin telah mengejek cadangan Dr Mahathir itu dengan mengatakan bahawa Dr Mahathir hanya cuba mengelirukan rakyat.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu menggambarkan cadangan untuk mencalonkan Shafie sebagai Perdana Menteri sebagai jenaka dan salah satu cara Dr Mahathir untuk mencetuskan pertelingkahan antara Shafie dan presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bung turut berkata adalah mustahil untuk Shafie menjadi Perdana Menteri kerana beliau tidak mendapat sokongan semua parti PH.