Keputusan kerajaan negeri membenarkan sektor pelancongan dibuka semula Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) fasa kelima pada 10 Mei lalu tidak disia-siakan oleh pengusaha berkaitan untuk merancakkan semula ekonomi negeri memandangkan Sabah memang terkenal dengan produk pelancongannya.
Lawatan penulis ke Kundasang, Ranau, baru-baru ini mendapati hampir semua aktiviti pelancongan di tanah tinggi berkenaan sudah mulai beroperasi sepenuhnya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa tempatan.
Walaupun aktiviti pelancongan itu hanya dibuka pada warganegara buat masa ini, namun kemeriahan tetap dirasai apabila tempat penginapan seperti hotel, inap desa dan resort di Kundasang mendapat permintaan tinggi dan hampir semuanya penuh ditempah oleh pengunjung tempatan.
Malah penulis mendapati kehadiran pengunjung begitu dirasai di sekitar Pekan Kundasang apabila berlaku pertambahan kenderaan di sekitar kawasan dan restoran juga dipenuhi dengan pengunjung tidak kira dari daerah pantai barat dan pantai timur.
Sejak sektor pelancongan di Sabah mula dibuka, barisan gerai menjual sayur dan buah-buahan sering menjadi tempat persingahan pengunjung.
Begitu juga barisan gerai menjual sayur-sayuran dan buah-buahan serta jualan bunga hasil tanaman penduduk tempatan dilihat mendapat perhatian penggemar sayur dan buah tempatan segar yang dipetik dari ladang berhampiran.
Barisan gerai menjual bunga menjadi tumpuan pengunjung bagi penggemar koleksi bunga hidup.
Kewujudan tarikan terbaharu iaitu Kundasang Selfie Corner yang terletak di Pekan Kundasang dimana pengunjung boleh merakamkan gambar kenangan dengan berlatarkan pemandangan Gunung Kinabalu menjadikan aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan semakin meriah.
Kundasang Selfie Corner antara lokasi terbaharu menjadi tumpuan pelancong tempatan di Kundasang.
Antara replika yang menjadi tarikan untuk pengunjung merakamkan gambar berlatarkan Gunung Kinabalu.
Keputusan kerajaan persekutuan yang membenarkan semula pelbagai sektor secara berperingkat bagi merancakkan semula ekonomi negara selepas terpaksa dihentikan akibat pandemic Covid-19 pada Mac lalu dilihat mendapat sambutan rakyat dengan kehadiran pengunjung ke Kundasang.
Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu menyebabkan lebih ramai rakyat mula yakin untuk keluar bercuti namun dengan mengamalkan norma baharu dalam mendepani virus covid-19 yang kini masih belum ditemui vaksinnya.
Diharap keadaan ini berterusan dan lebih ramai pengunjung tempatan dari tanah Semenanjung mengambil peluang untuk berkunjung ke Kundasang bagi merancakkan semula sektor pelancongan sekali gus membantu merancakkan ekonomi negeri Sabah.
Tarikan terbaharu di Pekan Kundasang.