PM9 dari Sabah? Dapat jadi calon PM pun sudah jadi sejarah

MUNGKINKAH Perdana Menteri Malaysia kesembilan (PM9) datang dari Borneo? Bolehkah jawatan tertinggi kerajaan Pusat itu dipegang pemimpin dari Sabah dan Sarawak?

Sanggupkah orang di Semenanjung menyerahkan jawatan itu kepada orang dari Sabah atau Sarawak setelah secara tradisi sejak lebih 60 tahun lalu dipegang pemimpin dari sana?

Satu demi satu persoalan timbul apabila nama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal disebut sebagai calon Perdana Menteri di bawah Pakatan Harapan Plus (PH Plus).

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu dikhabarkan mendapat sokongan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dicalonkan oleh PH sebagai Perdana Menteri, berdasarkan berita yang tersebar sejak semalam.

Banyak lagi sebenarnya persoalan lain yang muncul apabila nama Ahli Parlimen Semporna itu disebut sebagai calon PM.

Antaranya, pasti ada bertanya layakkah pemimpin dari Sabah dan Sarawak seperti Mohd Shafie dilantik sebagai PM dan mungkin ada juga mempersoalkan wajarkah orang dari Borneo menjadi PM Malaysia?

(Gambar sumber: Facebook Laman rasmi Parti Warisan Sabah)

Perlu juga diambil tahu apa pendirian pemimpin PH yang lain terutama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kita ketahui sejak sekian lama mahu menjadi PM.

Adakah beliau membenarkan jawatan itu diserahkan kepada orang lain setelah PKR membuat ketetapan mencalonkan Anwar sebagai PM sebelum ini?

PKR tidak lagi berselindung apabila menyatakan menolak Tun Mahathir sebagai calon PM gabungan PH Plus, sekiranya ia berjaya mengumpul majoriti untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Anwar dalam maklum balasnya selepas nama Mohd Shafie disebut oleh Tun Mahathir sebagai calon PM PH Plus meminta orang ramai menolak politik tipu helah.

Menerusi hantaran di akaun Facebook beliau, Anwar menjelaskan bahawa politik bukan hanya perebutan kuasa semata-mata.

“Politik tidak sekadar perebutan kuasa tetapi juga tentang bagaimana ia mahu diterjemahkan.

“Untuk membela rakyat atau sekadar meneruskan sistem lama yang lapuk dan usang?,” katanya.

Dilema perdana menteri PH Plus: (Dari kiri) Mohd Shafie Apdal, Dr Mahathir Mohamad, dan Anwar Ibrahim

Walaupun beliau tidak menyatakan secara jelas sama ada menolak atau menyokong‬ Mohd Shafie sebagai calon PM blok pembangkang, sudah dapat dibayangkan pendirian Anwar dalam soal pemilihan calon PM itu.

Persoalan mengapa nama Mohd Shafie disebut sebagai calon PM sedangkan WARISAN yang dipimpinnya tidak menganggotai PH juga timbul.

Mohd Shafie sebelum ini beberapa kali menyatakan partinya bukan sebahagian daripada PH, sebaliknya hanya menjadi rakan politik yang menyokong perjuangan pakatan berkenaan.

Sabah dan Sarawak adalah wilayah terbesar yang membentuk Malaysia sejak 16 September 1963, dengan gabungan kedua-dua negeri mengatasi keluasan Semenanjung yang merangkumi 11 negeri.

Bagaimanapun, dari segi persempadanan pilihan raya, kedua-dua negeri ketika ini hanya dibahagikan kepada 56 kerusi Parlimen, masing-masing 25 di Sabah dan 31 di Sarawak, berbanding 166 kerusi di Semenanjung.

Mungkin disebabkan jumlah kerusi Parlimen yang kecil berbanding di Semenanjung itulah Sabah dan Sarawak dilihat tidak layak untuk mewakilkan pemimpin mereka sebagai PM atau sekurang-kurangnya Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Jika itu perkiraannya tentulah sampai bila pun rakyat Sabah dan Sarawak tidak berpeluang menjadi PM.

Hanya jika persempadanan pilihan raya diubah dengan separuh atau sekurang-kurangnya dua pertiga kerusi mewakili Sabah dan Sarawak dalam Parlimen, barulah mungkin pemimpinnya boleh membuat ‘demand’ untuk menerajui kerajaan Pusat.

Namun, jawatan PM atau TPM sebenarnya boleh datang dari mana-mana negeri dan parti politik, tidak semestinya dari Semenanjung kerana tiada dalam perlembagaan negara menjelaskan siapa yang boleh menjawat jawatan itu.

Jadi, apabila disebut nama Mohd Shafie sebagai calon PM di bawah PH Plus, ia satu perkembangan yang positif, menggambarkan kesedaran orang di Semenanjung bahawa pemimpin Sabah dan Sarawak juga boleh dicalon untuk menjadi PM.

Walaupun belum menjadi kenyataan, sokongan terhadap Mohd Shafie yang disuarakan Tun Mahathir juga sudah satu sejarah kerana belum ada nama pemimpin dari Sabah dan Sarawak pernah disebut sebagai calon PM sejak pembentukan Malaysia 57 tahun lalu.

Sebelum ini, kita hanya mendengar cakap-cakap politik bahawa satu hari nanti orang Sabah atau Sarawak juga boleh jadi PM, terutama apabila menjelang pilihan raya umum.

Ia tidak lebih sebagai penyedap telinga orang Sabah dan Sarawak bagi memastikan sokongan rakyat kedua-dua negeri itu tertumpu kepada parti yang membuat tawaran berkenaan.

Begitu juga dengan jawatan TPM, paling-paling pun disebut saja dalam manifesto pilihan raya kononnya ada jawatan TPM untuk wakil Sabah dan Sarawak tapi selepas itu tiada juga apa-apa yang berlaku.

Ketika PN membentuk kerajaan Pusat pada akhir Februari lalu, orang Sabah dan Sarawak berdebar-debar apabila dikatakan kemungkinan TPM datang dari Borneo berikutan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang membolehkan PN menggantikan PH.

Namun, akhirnya Kabinet yang dibentuk Muhyiddin tidak mewujudkan jawatan TPM, sebaliknya hanya menamakan Menteri Kanan yang terdiri daripada empat orang, masing-masing satu dari Sarawak dan tiga dari Semenanjung.

Tindakan itu kelihatan seolah-olah tidak percaya orang Sabah dan Sarawak boleh menjadi TPM lalu diambil jalan tengah dengan meniadakan jawatan berkenaan.

Apapun, ia cumalah andaian yang boleh difikirkan rakyat dan pemerhati politik berdasarkan situasi ketika itu.

Sejak semalam, WARISAN giat menyebarkan suara sokongan terhadap Mohd Shafie sebagai calon PM PH Plus.

Memang tidak dinafikan ia berita baik bukan saja kepada WARISAN, malah Sabah keseluruhannya, namun sejauh mana ia boleh menjadi kenyataan bergantung juga kepada kesepakatan dalam kalangan parti dan pemimpin PH.

Beberapa rakan sekutu WARISAN termasuk DAP Sabah juga sudah menyatakan sokongan terhadap Mohd Shafie dan ia turut menggesa agar semua pemimpin di Sabah dan Sarawak termasuk GPS membuat pendirian yang sama.

Bung Moktar Radin

Namun, bagi Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, beliau menganggap pencalonan Mohd Shafie sebagai satu gurauan, selain untuk melaga-lagakan beliau dengan Anwar.

Satu lagi persoalan sekarang ialah mampukah Mohd Shafie menarik sokongan Ahli Parlimen di seluruh negara, terutama dari kalangan pemimpin PN bagi mendapatkan majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan PH Plus.

Selepas ini, persoalan lain pasti muncul, siapakah pula pengganti Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah jika beliau jadi PM.

Kita tunggu dan lihat saja.

(NOTA: Artikel ini sekadar pandangan penulis)

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.