KOTA KINABALU, 30 Jun 2020: Seorang bekas pengawal keselamatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan enam sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana cubaan memperkosa seorang pelajar universiti dua tahun lalu.
Hakim Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu kepada Arshad Masdin, 30, setelah mahkamah mendapati dia bersalah melakukan kesalahan berkenaan terhadap mangsa yang ketika itu berusia 18 tahun.
Tertuduh, pada Ogos 2018, menuntut perbicaraan terhadap pertuduhannya yang diperuntukkan di bawah Seksyen 376 (2) (a) Kanun Keseksaan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Ainul Shahrin Mohamad. Tuduhan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Menurut kertas pertuduhan, Asrhad didakwa cuba memperkosa pelajar tersebut di sebuah asrama di UMS pada tengah malam, 15 Julai 2018.
Tertuduh diwakili oleh peguam Shalan Jufry, Luqman Szazwan Zabidi, dan Mohammad Hafiz; sementara Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip dan Mas Izatty Lokman menjalankan pendakwaan.
Mangsa juga hadir semasa perbicaraan, di mana dia memberi keterangan kepada mahkamah mengenai kesan yang ditanggungnya selepas kejadian itu.