LABUAN: Kegiatan sindiket penyeludupan minuman keras berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Sungai Merapok, Lawas, Sarawak, semalam, selepas cuba menyeludup 140 kotak minuman keras.

Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 malam itu, semua minuman keras berkenaan dipercayai belum bercukai dan diseludup keluar dari Labuan untuk pasaran Sarawak.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata, kegiatan berkenaan dikesan sepasukan anggota dan pegawai Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan Operasi Benteng Laut.
Katanya, hasil pemantauan, pihaknya berjaya mengesan sebuah bot dan sebuah van di tebing perairan Lawas dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan, sebahagian besar bungkusan itu sudah dipindah masuk ke dalam van berkenaan.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan berkenaan sudah ditinggalkan tanpa pemandu di tebing sungai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Nor Bakari berkata, nilai minuman keras berkenaan belum dapat dipastikan dan masih dalam siasatan Maritim Malaysia.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana menyeludup barangan tanpa membayar cukai.
Tamat