Tuaran: Seorang lelaki yang cuba menangkap seekor monyet di Sungai Kampung Saman Berungis, di sini, kelmarin, bertukar tragedi apabila dia patah pergelangan kaki selepas digigit buaya.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Maksud Samad, 57, dikatakan cuba menyeberangi sungai pada ketinggian paras pinggang untuk mengejar seekor monyet.
Bagaimanapun, mangsa tidak menyedari kehadiran seekor buaya sepanjang hampir dua meter yang tiba-tiba menyerangnya dengan membaham pergelangan kaki mangsa.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima laporan daripada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kampung berkenaan.
Katanya, polis terus melakukan pemeriksaan ditempat kejadian dan kawasan kampung berkenaan terletak berhampiran sungai paya bakau di kawasan kampung berkenaan.
“Semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang mengejar monyet dan menyeberang sungai pada kedalaman paras pinggang.
“Bagaimanapun, mangsa diserang seekor buaya dan kini masih dirawat di wad Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) akibat patah pergelangan kaki kanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hamizi berkata, kes sudah dirujuk untuk tindakan Jabatan Perhilitan dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian seperti ini supaya disalurkan kepada polis di talian 088-791933, 088-791966 atau 088-791977.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika membuat sebarang aktiviti berhampiran sungai berkenaan.
Tamat