KOTA KINABALU, 10 Julai: Meskipun baru beroperasi empat bulan, Pusat Ekonomi dan Inovasi Kreatif Sabah terbukti berada di landasan yang betul bukan saja ke arah membangunkan komuniti inovatif dan kreatif, malah komuniti yang berdaya tahan.
Malah, pusat itu kekal melaksanakan fungsinya membantu dan memberi galakan kepada usahawan inovasi tempatan dan industri untuk terus berinovasi, walaupun dalam situasi pandemik Covid-19 yang masih berlaku sekarang.
Antara pencapaiannya sepanjang tempoh pandemik termasuk memperkenalkan idea Pelancongan Berasaskan Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR), menggalakkan usahawan tempatan melaksanakan inovasi serta mewujudkan kerjasama dengan Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC).
Pengurus Besarnya, Viviantie Sarjuni, berkata tiga usahawan inovasi sosial dari Sabah turut terpilih menyertai program MaGIC Online Social Innovation Bootcamp, baru-baru ini. Mereka ialah Mt Kinabalu Arabica Coffee, Bam and Boo Enterprise dan NearMe.
Mt Kinabalu Arabica Coffee menerima geran RM30,000 daripada Yayasan Inovasi Malaysia Mainstreaming Grassroots Innovations (MaGRis). Dua lagi ketika ini menunggu keputusan program BAIKS anjuran Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan Perindustrian (DIDR).
BAIKS ialah bantuan kepada perniagaan kecil dan sederhana (SME) oleh kerajaan menerusi DIDR bagi menggalakkan pertumbuhan usahawan SME di Sabah.

“Idea Pelancongan AR/VR dipilih sebagai 10 inovasi teratas dalam Startup Weekend secara dalam talian anjuran Techstar, iaitu sebuah ‘seed accelerator’ Amerika yang diasaskan pada 2006 di Boulder, Colorado. Idea ini datang dari salah seorang perserta belia Sabah, Zikri Zainudin.
“Ideanya ialah untuk membuat perubahan terhadap persepsi seseorang mengenai persekitaran fizikal mereka apabila dipandang menerusi peralatan tertentu. Melalui cara ini, kita dapat menjual pengalaman pengembaraan kepada pelancong tanpa pergi ke tempat itu. Ia sangat sesuai khususnya ketika pandemik.
“Kita juga sudah mengadakan lebih 20 webinar setakat ini yang meliputi tajuk berkaitan teknologi, inovasi dan kreatif. Kita tetap tabah walaupun ada pandemik,” katanya.

Pencapaian berkenaan selari dengan objektif Pusat Ekonomi dan Inovasi Kreatif Sabah bagi melahirkan bakat bertauliah di peringkat global dengan membawa orang ramai, idea dan sumber bersama bagi menggalakkan usahawan membina kejayaan, inovatif dan perniagaan yang mapan dalam semua bidang industri.
Pusat pertama seumpamanya di Sabah itu beroperasi di tapak berkeluasan 6,343 kaki persegi di kawasan Kilang Sedia Bina (RBF) Fasa 5, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP). Pusat berkenaan dibangunkan di bawah Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah dengan kerjasama KKIP.
Rancangan penubuhannya diumumkan pada April 2017 oleh Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang mendapat inspirasi membangunkan pusat itu ketika kunjungannya ke Korea Selatan ketika beliau menjadi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Viviantie memaklumkan, pusat itu menumpukan usaha untuk bekerjasama dengan komuniti akar umbi, usahawan atau syarikat yang baru bermula (start-up), firma, universiti dan institut penyelidikan.
Katanya, pusat berkenaan akan menyediakan bantuan dari aspek perundangan, selain mencari pelabur bagi memasarkan produk yang dihasilkan di seluruh dunia.
“Pusat ini menggalakkan penggunaan peralatan digital seperti AR/AV, robotik, internet, kebijaksanaan rekaan, animasi dan perfileman bagi menyokong inovasi, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Ia juga menyasarkan untuk menjadi organisasi berpandukan data dengan mengumpul, mempelajari dan menganalisis data secara konsisten dan mampu membuat keputusan yang baik untuk industri dan usahawan bagi melaksanakan program lebih efektif pada masa depan.
“Kita dalam proses untuk membangunkan sistem pengurusan data yang akan dilancarkan
dalam masa terdekat,” katanya.

Pusat Ekonomi dan Inovasi Kreatif Sabah juga akan melancarkan platform mentor pertama di negeri ini yang dikenali sebagai Co-ETIC Mentorship Programme.
Co-ETIC bermaksud Kolaborasi, Keusahawanan, Teknologi, Inovasi dan Kreatif, yang mana menghubungkan pakar bidang tertentu dalam pelbagai industri dengan ‘penginovasi’, pembuat, bakat kreatif dan usahawan baru bermula atau start-ups di Sabah.
Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, pusat berkenaan turut melaksanakan Lockdown Pitching Competition melalui kerjasama strategik dengan Ooze dan Kementerian Belia dan Sukan negeri serta Pertandingan Video Pendek Kaamatan melalui
kerjasama dengan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Atukoi FM.