Pusat Latihan Aeroangkasa KKIP akan dibangunkan sebagai pusat latihan industri aerongkasa terkemuka di Asia Tenggara di bawah Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia.
Terletak di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), kira-kira 30 minit dari ibu negeri, pusat latihan berkenaan mampu memberikan pulangan yang signifikan daripada industri aeroangkasa menerusi pembangunan tenaga kerja mahir.
Pembukaan pusat latihan berkenaan turut memberikan Sabah kedudukan untuk menceburi sektor nilai tambah yang tinggi dalam industri aeroangkasa bagi membantu Sabah menjadi negeri berpendapatan tinggi.
Melihat kepada potensi perolehan daripada industri aeroangkasa, pulangan menerusi sektor itu diunjur mencapai RM55.2 bilion pada 2030, dengan peningkatan sebanyak 245 peratus berbanding perolehan RM16 bilion yang dicatat pada 2019.
Hari ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengadakan lawatan rasmi ke pusat latihan berkenaan dengan diiringi Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew; Ketua Pegawai Eksekutif KKIP Sdn Bhd, Datuk Melvin Disimond dan Pengerusi KKIP Aerospace, Dr Ei Sun Oh.

Dalam ucapan pembukaannya, Madius mengucapkan tahniah kepada KKIP Aerospace Sdn Bhd (KKIP Aerospace), anak syarikat milik penuh KKIP Sdn Bhd dan rakan kerjasamanya, Lembaran Asia Sdn Bhd atas pembangunan Pusat Latihan Aeroangkasa KKIP.
“Saya difahamkan, ini akan menjadi pusat latihan penyelenggaraan pesawat pertama di Malaysia yang memiliki dua kelulusan – pertama daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), selain pengesahan antarabangsa di bawah Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA) Bahagian 147 bagi mengendalikan Kategori A1 latihan Juruteknik Penyelenggaraan Pesawat.
“Graduan Pusat Latihan Aeroangkasa KKIP akan dilengkapkan dengan kemahiran menyeluruh yang dibahagikan kepada 12 modul.
“Antara lain, latihan akan bermula dalam bidang berkaitan avionik, enjin, badan dan kerja komposit, merangkumi pembelajaran teori dan latihan pekerjaan di hangar termasuk di hangar milik MRO (organisasi penyelenggaraan dan pembaikan),” katanya.
Beliau menambah, graduan Kategori A1 Juruteknik Penyelenggaraan Pesawat akan diberikan dua lesen yang disebutkan itu untuk bekerja dalam industri aeroangkasa.
Dua pelesenan berkenaan penting kerana graduan bukan saja dapat bekerja di industri aeroangkasa tempatan, malah di peringkat antarabangsa.

Madius turut menambah, graduan juruteknik dari pusat latihan berkenaan yang memiliki dua pelesenan mampu menikmati gaji bulanan sehingga RM5,000.
Bagi graduan aeroangkasa berpengalaman yang mencari kerja di Dubai, katanya mereka boleh menikmati gaji permulaan bulanan sebanyak USD8,000 (RM34,088).
KKIP Aerospace juga sedang dalam proses mewujudkan hab latihan aeroangkasa yang akan ada kerjasama dengan MASwings Sdn Bhd, Layang- Layang Aerospace, Mega Aerospace Sdn Bhd dan CAAC Malaysia Sdn Bhd untuk latihan pekerjaan.
Selain itu, ia turut bekerjasama dengan Bataras Sdn Bhd dan Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Perindustrian bagi program pembangunan vendor utama.
Pusat latihan berkenaan dilengkapi pelbagai fasiliti penting seperti hangar, bilik kuliah dan bengkel serba lengkap serta 120 bilik asrama berhawa dingin yang dilengkapi katil, meja belajar dan almari, selain bilik mandi dan laundry.
Ia juga memiliki pesawat sebenar jenis Autogyro Cavalon 915 dan Hawker Siddeley HS-125-400A.
Autogyro Cavalon adalah pesawat pertama beroperasi di Sabah dengan keupayaan operasi minimum 100 liter bahan api RON95 selama enam jam dengan kelajuan 17 knot atau 130 kilometer sejam.
Dengan berat maksimum berlepas sebanyak 500 kilogram, pesawat yang menggunakan enjin piston itu mampu terbang sehingga ke paras 12,000 kaki.
