Politics

Bahang PRU-15 sudah bermula

MUNGKINKAH Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal?

Ia berikutan khabar angin mengenai perkara itu menjadi tajuk perbincangan politik pelbagai pihak sejak kebelakangan ini.

Walaupun hanya khabar angin, soal pilihan raya sentiasa menarik perhatian ramai kerana ia berkait rapat dengan pembentukan kerajaan melalui proses demokrasi.

Jika diikutkan, tempoh Parlimen Ke-14 sekarang hanya berakhir pada Jun 2023, iaitu kira-kira tiga tahun lagi.

Ada yang meramalkan PRU-15 mungkin diadakan pada bila-bila masa saja berikutan situasi politik tidak stabil yang berlaku sekarang.

Pemerhati politik berpandangan, termasuk ramai juga pemimpin parti sependapat bahawa mengadakan pilihan raya umum (PRU) lebih awal adalah langkah terbaik bagi mengatasi kemelut politik negara.

Bagi mereka biarlah rakyat menentukan semula siapa yang layak menerajui kerajaan selain sebagai satu cara untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguji kekuatan.

PN yang mengambil alih kerajaan Pusat pada akhir Februari lalu dilihat masih kurang stabil berikutan sokongan majoriti yang sangat tipis.

Mohamad Ariff Md Yusof

Malah, jika mengambil kira keputusan pengundian bagi menyingkirkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, pada persidangan Parlimen baru-baru ini, kedudukan PN dianggap tergantung.

Gabungan disertai BERSATU, UMNO Barisan Nasional (BN), PAS, Gabungan Parti Sarawak (GBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan beberapa wakil Bebas itu hanya mendapat 111 undi.

Jumlah itu mewakili separuh daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen ketika ini.

Lawannya, Pakatan Harapan Plus (PH Plus) mendapat 109 undi, manakala satu undi berkecuali.

Seorang Ahli Parlimen tidak hadir pada persidangan itu, menjadikan undi keseluruhan pada hari itu hanya 221.

Walaupun PN menang dalam pengundian belah bahagian bagi menyingkirkan speaker yang dilantik ketika kerajaan PH itu, pembangkang berpendapat, kedudukan kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Muhyiddin Yassin

Sehubungan itu, hanya satu cara untuk menguji sama ada rakyat menyokong PN atau PH Plus ialah melalui pilihan raya.

Di pihak PN, mereka berkeyakinan mampu menguasai semula Putrajaya jika PRU-15 diadakan sekarang.

Ia bersandarkan sokongan rakyat yang dilihat semakin bertambah terhadap gabungan itu berikutan langkah proaktif diambil kerajaan bagi menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang menghadapi kesusahan disebabkan pandemik itu sebelum ini.

Di pihak PH Plus pula, mereka pastinya berharap sokongan rakyat masih berpihak kepada gabungan itu seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Gabungan blok pembangkang itu menganggap PN sebagai kerajaan pintu belakang kerana dibentuk melalui perpindahan sokongan beberapa pemimpin, khususnya daripada BERSATU dan PKR.

PH Plus disertai PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN), Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan bekas ahli BERSATU yang menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan, ketika ditanya mengenai persediaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat baru-baru ini menguatkan lagi kemungkinan PRU-15 diadakan lebih awal.

Gambar sekadar ilustrasi.

Beliau dilaporkan berkata SPR sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya PRU-15 pada bila-bila masa terutama dalam tempoh pasca Covid-19.

Katanya, SPR membuat persediaan dan perancangan menyeluruh merangkumi aspek keperluan bajet pilihan raya, peralatan, logistik, pembangunan sistem, pengurusan sumber manusia dan latihan kepada petugas.

“Sebagai persiapan menghadapi PRU-15, SPR akan mewujudkan lebih banyak pusat mengundi tambahan ke atas daerah mengundi yang mempunyai bilangan pemilih yang tinggi.

“Urusan pengemaskinian daerah mengundi ini akan dilaksanakan oleh SPR dari semasa ke semasa selaras dengan Seksyen 7 (2) Akta Pilihan Raya 1958,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Secara tradisi, jika Parlimen dibubarkan, Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap negeri turut dibubarkan bagi memudahkan proses pilihan raya.

Hanya Sarawak mengadakan pilihan raya berasingan dan negeri itu bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada pertengahan tahun depan.

Namun, jika PRU-15 diadakan pada akhir tahun ini atau awal tahun depan, kemungkinan besar PRN Sarawak turut diadakan serentak.

Di Sabah, PRU-15 pastinya lebih ‘meriah’ memandangkan 13 kerusi baharu DUN yang diluluskan Dewan Rakyat pada tahun lalu bakal menambah bilangan kerusi sedia ada kepada 73.

Pasti ramai tidak sabar untuk mencuba nasib bertanding di kerusi baharu terbabit, selain di 60 kerusi sedia ada.

Walaupun belum diketahui bila sebenarnya PRU-15 diadakan, sudah ada pemimpin ‘mencalonkan’ diri bertanding di kerusi yang diminati.

Laporan mengenai persiapan parti menghadapi PRU-15 juga sudah mula tersebar, menunjukkan orang politik sudah tidak sabar menunggu pengumuman pembubaran Parlimen.

(NOTA: Artikel ini sekadar pandangan penulis)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.