KOTA KINABALU, 29 Julai 2020: Bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman dijangka bertemu dengan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin berhubung pembentukan kerajaan negeri baru.
Musa yang juga ADUN Sungai Sibuga berkata satu gabungan baharu telah dibentuk dan telah memperoleh sokongan majoriti dari ADUN pelbagai parti dalam usaha memjatuhkan kerajaan negeri dibawah pimpinan presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dalam sidang media tergempar, Musa memaklumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Nardin Awang telah membuat kunjungan hormat kepada Juhar pagi tadi.
“Pertemuan itu adalah bagi memaklumkan gabungan baru yang menyokong Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperolehi sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru.
“Tuan Yang Terutama telah meminta saya mengemukakan surat-surat akuan bersumpah yang mengesahkan sokongan mereka.
“Saya telah menerima surat akuan bersumpah ADUN yang mengesahkan pendirian mereka menyokong gabungan baharu yang saya ketuai,” katanya.
Musa berkata kerajaan negeru gabungan baru ini akan berusaha memperbaiki dan menghasilkan dasar yang lebih baik untuk membawa Sabah keluar dari keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini dibawah kerajaan Warisan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang secara konsisten mempercayai dan menyokong saya.
“Saya tidak mengharapkan apa-apa kecuali komitmen dan dedikasi sepenuhnya dari semua wakil rakyat untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” tambah beliau.