#Borneo Echo Team sebelum ini meminta pengikut page ini menyatakan siapa Ketua Menteri Sabah pilihan mereka selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Lima pemimpin disenaraikan – Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor; bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman; bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Macam-macam jawapan dan sebab kenapa mereka memilih pemimpin yang mereka fikirkan paling sesuai untuk menduduki jawatan tertinggi kerajaan Sabah itu.
Tidak kurang juga yang bertanya, mereka sajakah pemimpin Sabah yang ada untuk jadi calon Ketua Menteri? Mana wakil Kadazandusun Murut (KDM)?
Tiadakah orang muda atau pemimpin muka baharu yang layak menjadi Ketua Menteri Sabah, hinggakan muka sama saja ditampilkan setiap kali pilihan raya?
Bakal Ketua Menteri Sabah adalah…
Jadi, hari ini Borneo Echo Team mahu mengupas sedikit pasal calon Ketua Menteri menjelang PRN Sabah yang ke-16 tidak lama lagi.
Di pihak kerajaan pimpinan Warisan bersama rakan sekutunya – Upko dan anggota Pakatan Harapan (PH), siapa bakal Ketua Menteri jika parti itu berjaya mempertahankan kedudukannya pada PRN nanti sudah jelas dan nyata.
Pastinya, tiada lain selain Mohd Shafie, kerana berdasarkan situasi semasa beliau mendapat sokongan penuh daripada semua parti di bawah gabungannya untuk terus menjadi Ketua Menteri.
Jadi, tiada masalah lagilah apabila menang PRN nanti, boleh terus ke Istana Negeri berjumpa Yang di-Pertua Negeri untuk mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri.
Namun, jika misalnya gabungan parti yang menyokong Perikatan Nasional (PN) – Umno, Bersatu, Pas, PBS, PBRS dan Star menang, mereka belum memutuskan siapa Ketua Menteri.
Mungkin Hajiji atau Bung Moktar kerana Bersatu Sabah dan Umno mengaku mempunyai sokongan yang besar dan masing-masing mahu bertanding lebih separuh daripada 73 kerusi DUN.
Takkan Musa pula dilantik semula jadi Ketua Menteri kerana beliau bukan lagi ketua walaupun masih ahli Umno.
Malah, ada suara meminta penyandang DUN Sungai Sibuga itu supaya berehat saja dan memberi laluan kepada pemimpin lain untuk meneruskan kepemimpinan.
Bagaimana pula jika PBS yang mahu bertanding 30 kerusi tiba-tiba memenangi lebih banyak kerusi berbanding Umno dan Bersatu, mungkinkah sekali lagi Sabah akan mendapat seorang Ketua Menteri mewakili PBS seperti pada tahun 1985 hingga 1994 dulu?
Siapa pula calon Ketua Menteri PBS? Mungkinkah presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili? Tapi beliau sekarang Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak persekutuan, terpaksalah letak jawatan nanti.
Selain itu, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, juga giat mempromosikan perjuangan politiknya menerusi parti baharu pilihannya, Parti Cinta Sabah (PCS).
Beliau kini adalah Presiden parti itu selepas mengambil alihnya daripada presiden terdahulu, Datuk Wilfred Bumburing pada mesyuarat agung parti itu, beberapa hari sebelum DUN Sabah dibubarkan.
Kalaulah PCS bertanding 73 kerusi dan berjaya menumbangkan gabungan Warisan-Upko-PH dan parti gabungan PN, sudah tentu Anifah Ketua Menterinya.

Tidak ketinggalan, sebuah lagi parti, Usno Baru, juga menunjukkan minat untuk bertanding. Parti yang pernah diasaskan Tun Datu Mustapha itu kini disertai bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia selaku Ketua Umumnya.
Ada kemungkinan juga Pandikar Amin menjadi Ketua Menteri jika parti itu menang besar.
Semua nama pemimpin ini sudah biasa dan lama didengar dan disebut-sebut di Sabah. Kalaulah ada orang baharu – entah bila, hanya masa yang menentukan.