TAWAU – Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya menahan sebelas warga asing dalam operasi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) ke daerah ini pagi tadi.
Serbuan pada 5.30 pagi itu dilakukan sepasukan anggota PPM menerusi Ops Gelora Khas dan Op Benteng Covid di sebuah kebun pisang kampung Tawau Lama susulan maklumat dan risikan berkaitan kemasukan PATI di kawasan berkenaan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau Deputi Superintendan Polis Mohd Nazari Bin Ismail berkata:
“Ketika serbuan berkenaan dilakukan sekumpulan orang dipercayai warganegara Indonesia tidak menyangka kehadiran pihak berkuasa di tempat persembunyian tersebut’.
Menurut Mohd Nazari lagi, kumpulan tersebut terdiri daripada lapan orang lelaki berumur antara 2 hingga 45 tahun.
Manakala, perempuan berumur antara 3 hingga 41 tahun yang disyaki baru tiba di kawasan berkenaan dan sedang menunggu pengangkutan untuk ke lokasi seterusnya.
Hasil pemeriksaan awal mendapati hanya seorang lelaki memiliki passport perjalanan yang sah.
Manakala yang lain tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
Kesemua mereka kemudiannya ditahan dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000.00 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada 6 kali sebatan.