KOTA KINABALU: Seorang anggota polis telah ditikam di oleh seorang pengguna dadah semasa satu serbuan di Taman Puri Warisan.
Semasa kejadian semalam, sepasukan pegawai bahagian siasatan jenayah narkotik daerah Kota Kinbalu telah pergi ke Blok G Taman Puri Warisan Inanam dan mendapati dua lelaki sedang menghisap dadah di kawasan bawah tangga.
Menurut ketua polis daerah ACP Habibi Majinji semasa cuba melarikan diri, salah seorang telah bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah gunting besi berukuran 13-cm yang di ubahsuai menjadi senjata.
“Suspek telah menikam salah seorang anggota polis (dan mencederakan) bahagian belakang lengan dan rusuk sebelah kiri.
“Manakala seorang lagi suspek telah bertindak merempuh dan menumbuk dada salah seorang anggota polis semasa pihak polis cuba menahan lelaki tersebut daripada melarikan diri,” beliau berkata di satu kenyataan media.
Anggota polis yang cedera telah menerima rawatan di hospital Queen Elizabeth dan dibenarkan keluar kerana tiada kecederaan yang serius.
Habibi berkata kedua-dua warganegara lelaki berumur 33 dan 39 berjaya ditangkap dan didapati positif dadah.

Pihak polis juga turut menjumpai sebilah pisau bersarung warna hitam berukuran lebih kurang 32 cm yang diselitkan di bahagian pinggang suspek dan dua paket plastik berisi dadah jenis syabu bernilai RM20 juga dirampas.