KOTA KINBALU: Sabah mencatatkan 19 kes Covid-19 sepanjang bulan Ogos.
Menurut statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, kes-kes tersebut dilaporkan paling banyak di Sandakan iaitu 12 kes, diikuti dengan masing masing 2 kes di daerah Kota Kinabalu dan Penampang, dan 1 kes di setiap daerah-Semporna, Tawau dan Beluran.
Kes-kes di Sandakan melibatkan warganegara dan bukan warganegara yang balik dari luar negara serta seorang pelajar yang dikesan di terminal ferry Labuan.
Manakala bagi statistik di Kota Kinabalu, seorang lelaki tempatan disahkan positif semasa saringan sebelum pembedahan manakala seorang lagi merupakan wanita bukan warganegara yang juga dikesan semasa mendapatkan rawatan di hospital.
Bagi kes Penampang, penemuan dibuat atas seorang remaja lelaki di Terminal Ferry Labuan dan seorang kanak-kanak perempuan didapati positif semasa mendapatkan rawatan di klinik kesihatan Penampang.

Kes-kes di Semporna dan Tawau melibatkan dua wanita bukan warganegara yang disaring di lokap di kedua-dua daerah tersebut.
Di Beluran, wanita tersebut disahkan positif semasa mendapatkan rawatan di Queen Elizabeth setelah dirujuk daripada hospital Duchess of Kent.
Setakat Ogos 31, kes kumulatif Covid-19 adalah 417 dengan jumlah kematian 8 orang. Masih terdapat 9 orang yang masih menerima rawatan di hospital.