KOTA KINABALU: Kluster Benteng yang dikesan di Lahad Datu kini telah merebak ke daerah Tawau.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan kluster Benteng menjadi 14 dengan pertambahan 7 kes pada hari ini.
“Hasil siasatan lanjut kluster mendapati 1 kes positif COVID-19 yang melibatkan seorang banduan di Penjara Tawau, Sabah yang berkait rapat dengan kluster ini.
“Beliau mempunyai sejarah dimasukkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bagi perbicaraan sebutan kes, di mana beliau didapati mempunyai kontak rapat dengan kedua-dua kes indeks kluster ini,” beliau berkata di satu kenyataan media.
Enam kes baharu yang dilaporkan hari ini telah dikesan di Penjara Tawau dimana 4 daripada kes tersebut turut mempunyai sejarah ke IPD Lahad Datu serta mempunyai kontak rapat dengan kes indeks.
“Mereka telah balik ke Penjara Tawau pada 28 Ogos 2020 dan seterusnya menjangkiti 2 lagi banduan baharu di Penjara Tawau.
Kesemua kes positif baharu ini tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau.
Dr Noorhisham
Sehingga 3 September 2020, seramai 336 orang telah disaring.
Daripada jumlah ini:
• 14 kes dikesan positif COVID-19;
• 123 individu negatif; dan
• 199 individu masih menunggu keputusan.
Jumlah saringan yang telah dilaksanakan bagi kluster ini melibatkan:
• 121 orang banduan;
• 83 orang kakitangan penjara;
• 68 orang ahli keluarga kakitangan dan banduan;
• 61 anggota polis; dan
• 3 orang pegawai agensi kerajaan yang lain.