KOTA KINABALU: Pihak polis meminta bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan dengan dua suspek seperti gambar di atas.
Ketua polis daerah ACP Habibi Manjinji berkata pihak polis telah menerima maklumat bahawa dua pesakit lelaki yang dirawat di Hospital Mesra Bukit Padang telah hilang dan dipercayai melarikan diri.
“Siasatan yang dijalankan mendapati, pada 04/09/2020 jam lebih kurang 4.25 petang, semasa pengadu sedang bertugas di kliniknya telah dimaklumkan oleh salah seorang staf wad 7 (forensik) tersebut bahawa dua orang pesakit lelaki telah melarikan diri.
“Perkara ini disedari oleh salah seorang staf, iaitu pada jam 3.45 petang semasa pemeriksaan rutin ke atas wad,” beliau berkata dalam satu kenyataan media.
Pada ketika itu, terdapat usaha untuk mengesan dan mencari kedua-dua pesakit tersebut di sekitar kawasan hospital namun gagal menemui mereka,
Siasatan lanjut mendapati, pada jam 3.00 petang, kedua-dua suspek ini dikeluarkan dari domitri masing-masing untuk minum petang.
Lebih kurang 15 minit kemudian, kedua suspek didapati tidak berada di meja minum mereka.
“Kedua suspek dipercayai meloloskan diri melalui pintu grill di sebelah tempat makan lalu memanjat pagar dan melarikan diri menghala Jalan Bantayan.”
Kedua-dua pesakit ditempatkan di hospital tersebut di bawah perintah oleh Mahkamah di bawah Seksyen 348
KPJ (Penjagaan selamat orang yang dibebaskan).
Suspek pertama merupakan pesalah di bawah Sek. 14 (A) Akta Seksual KanakKanak 2017, dari Penjara Kota Kinabalu dan telah dimasukan ke Wad Forensik pada 10/05/2019 untuk rawatan “Mild Intellectual Disability” atas perintah Mahkamah Kota Kinabalu.
Manakala suspek kedua pula merupakan pesalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dari daerah Tawau dan telah dirujuk ke Hospital Bukit Padang pada 14/01/2019 atas masalah mental, iaitu “Schizophrenia”.
“Sehubungan dengan itu, Polis Kota Kinabalu meminta kerjasa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini untuk segera menyalurkannya kepada Inspektor Palani Nathan A/L Pathmanathan (Pegawai Penyiasat) di talian 016-412 2835 atau ke Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088529220 atau ke akaun Facebook Page IPD Kota Kinabalu.”