PITAS: Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ruddy Awah akan membantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Dalam mempercepatkan pembinaan 13 menara baharu yang akan didirikan daerah ini.
Beliau berkata demikian, selepas menziarah di Kampung Mengkapon hari ini, berikutan video tular berkenaan penduduk kampung mendapatkan liputan dengan menaikkan telefon bimbit seperti bendera di sebuah bambu panjang yang ditegakkan.
Telefon bimbit teesebut dimasukkan ke dalam botol plastik dan hotspot diaktifkan sebelum dinaikkan.
Telefon tersebut dijadikan sebagai “WiFi” untuk penduduk kampung.
“Saya akan membantu mempercepatkan pembinaan menara-menara di daerah ini, agar rakyat dapat menikmati liputan internet yang lebih baik,” katanya.
Di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 1, sebanyak 50 menara telekomunikasi baharu akan didirikan di Sabah.
Daripada jumlah tersebut, 13 menara baharu akan didirikan di Pitas.
Menurut MCMC, Kampung Mengkapon telah dikenal pasti sebagai salah satu lokasi untuk pembinaan menara berkenaan.