KOTA KINABALU: Disebabkan lebihan muatan di penjara pusat Kota Kinabalu, pihak kerajaan mempunyai kesukaran untuk membekalkan peralatan perlindungan peribadi (PPE).
Menurut jurucakap situasi Covid-19 di Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata buat masa ini, penjara tersebut mengalami lebihan kapasiti sehingga 81% daripada jumlah kapasiti yang ditetapkan.
Setakat 22 October, 39 peratus atau 1,131 daripada 2,898 banduan sudah disaring.
Daripada jumlah yang telah disaring, jumlah banduan yang disahkan positif COVID-19 adalah seramai 709 orang atau 62.6% (709/1,131).

Kluster penjara Kepayan merupakan penyumbang tertinggi di Kota Kinabalu iaitu 772 setakat semalam .
“Sejak bermulanya pandemik Covid-19 di negara ini, Jabatan Penjara telah pun mengambil langkah-langkah pencegahan mengikut SOP yang dikeluarkan poleh pihak KKM. Jabatan Penjara juga mempunyai SOP khusus untuk menangani kes Covid di dalam penjara.
“Semua kakitangan penjara diarah untuk patuh kepada SOP tersebut semasa bertugas seperti pemakaian pelitup muka, kerap mencuci tangan, membuat sanitasi tempat bertugas dan blok-blok penempatan serta penjagaan kebersihan diri dan penjarakan fizikal,” beliau berkata di satu kenyataan jawapan bertulis untuk soalan-soalan yang dikemukakan oleh wartawan.
Bagi menampung keperluan ruang tempat tinggal kakitangan yang dikuarantin dikawasan penjara (EMCO), pihak pengurusan penjara Sabah telah menggunakan segala kemudahan dan ruang yang ada di dalam kompleks penjara Sabah secara maksimum seperti ruang pejabat, bangunan, dewan, rumah rehat dan bilik mesyuarat.
Ia adalah bagi tujuan pengasingan dan kuarantin dalam tempoh 14 hari.
Sebanyak 8 dewan telah dikenalpasti dan dalam proses penyediaan bersama pihak NADMA dan JPBN. Pusat kuarantin ini adalah di bawah penyeliaan JPBD dan di bawah kawalan keselamatan oleh JIM, PDRM, ATM dan RELA.
Sementara itu, antara perancangan dan tindakan yang telah dirangka bagi mengelakkan penularan di Pusat Tahanan Sementara termasuk mewujudkan pusat kuarantin tahanan PATI.
“Kemasukan tahanan baru ke PTS juga akan melalui proses semakan yang teliti iaitu mempunyai keputusan swab negatif dua kali bagi saringan COVID-19, tidak bergejala dan akan diletakkan dalam blok tahanan pengasingan bagi pemantauan selanjutnya.
“Kerajaan berharap langkah ini mampu membantu dalam meminimakan risiko penularan di pusat-pusat tahanan.”
Ends.